SIMANGGANG: Kajian terhadap penghasilan Pelan Induk Pembangunan Bahagian Sri Aman 2021-2030 yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan menelan belanja sebanyak RM5 juta.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion memberitahu, peruntukan itu sudah diluluskan dan Agensi Pembangunan Sri Aman (Sada) dilantik untuk melaksanakan kajian.
Menurutnya, Sada akan memulakan kajian pada bulan ini dan tarikh serahan tugas tersebut ditetap pada 10, 12 dan 20 Disember ini.
“Selepas itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan mengumpul hasil kajian termasuk perincian perbincangan bengkel sebelum dirumus bagi mendapatkan semua fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Bengkel Pertama Pelan Induk Projek Pembangunan Sada di sini, semalam.
Jelas Jaul, sektor pendidikan, pertanian dan pelancongan memiliki potensi besar untuk dibangunkan di bawah Pelan Induk Pembangunan Sada dalam tempoh 10 tahun ini.
“Bagaimanapun Sada harus mencari jalan mempelawa rakyat untuk bersama-sama menjayakan pelan tersebut.
“Paling penting usaha pembangunan harus berpaksikan rakyat.
“Justeru, Sada diharap dapat memperhebat strategi supaya rancangan ini nanti dapat dilaksanakan pada tahun hadapan,” ujarnya.
Hadir sama Pengerusi Sada Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis serta barisan Adun, Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai dan 147 peserta.