KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman oleh dua mahkamah berasingan di sini selepas mengaku bersalah memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah serta membantu menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak tanpa lesen.
Dalam prosiding pertama di Mahkamah Sesyen, Hakim Musli Ab Hamid menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Lia, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, Lia ditahan di sebuah kafe berhampiran City Square Pending, kira-kira jam 2.30 petang, 18 Jun lalu kerana berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan sah.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menjalankan serbuan di premis berkenaan sebelum menahan tertuduh.
Siasatan mendapati wanita warganegara Indonesia yang berasal dari Entikong itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.
Semakan Jabatan Imigresen Malaysia turut mengesahkan tiada rekod kemasukan atau keluar secara sah oleh tertuduh ke atau dari Malaysia.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu, Lia didenda RM20,000 atau dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Dia turut dikenakan hukuman penjara tambahan tiga bulan selepas mengaku bersalah membantu menjalankan loteri awam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh ditahan dalam Op Soga di premis sama pada 18 Jun lalu kerana dipercayai mengendalikan aktiviti pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Turut dirampas ialah telefon pintar, pencetak mudah alih, beberapa slip pertaruhan perlawanan bola sepak, cop resit serta wang tunai berjumlah RM725.
Antara slip pertaruhan yang dirampas membabitkan perlawanan Kanada menentang Qatar, Switzerland menentang Bosnia dan Herzegovina serta Mexico menentang Korea Selatan.
Analisis pakar perjudian terhadap telefon pintar dan bahan bukti yang dirampas mengesahkan kewujudan unsur aktiviti pertaruhan bola sepak dalam talian tanpa lesen.
Berdasarkan dapatan tersebut, mahkamah mendapati tertuduh berperanan memudahkan aktiviti pertaruhan, sekali gus membawa kepada pertuduhan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peeguam dalam kedua-dua prosiding.



