SARATOK: Lebih 30 hektar kawasan di Kampung Kaba dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bakal menjadi perintis projek pengeluaran beras secara besar-besaran di Daerah Saratok dengan menggunakan teknologi moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri berkata Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) secara keseluruhan memperuntukkan RM4.8 juta bagi menyokong ikhtiar tersebut.
“Hasrat kita untuk menjadikan Kampung Kaba sebagai kawasan pertanian padi moden yang mana hasil padinya boleh dituai lima kali dalam tempoh dua tahun.
“Sehubungan itu, kita cuba memanfaatkan lebih 30 hektar tanah dengan menambah baik infrastruktur saliran dan membina kilang beras agar hasrat menjadikan Kampung Kaba perintis projek pengeluaran beras secara besar-besaran di Daerah Saratok dapat dicapai,” katanya dihubungi hari ini.
Jelasnya, peruntukan besar disediakan Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) digunakan untuk pembinaan kilang memproses beras di Skim Padi Kampung Kaba iaitu sebanyak RM2.5 juta oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sementara RM1.5 juta untuk menaik taraf infrastruktur saliran di Skim Padi Kampung Kaba akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Sementara RM800,000 lagi bagi kerja pemasangan kabel bervoltan tinggi 11 kV (overhead line dan transformer 50kVA) ke kilang beras skim padi di Kampung Kaba. Kerja ini bakal dilaksanakan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Jadi ini perancangan jangka panjang dan insya-Allah ada projek berkaitan yang akan dimulakan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Terdahulu, semasa sesi libat urus Projek Pembinaan Kilang Memproses Beras di Skim Padi Kampung Kaba di Dewan Pejabat Daerah Saratok semalam, Mohamad diwakili oleh Ahli Majlis Daerah Saratok (MDS), Kaunselor Majid Amit Zainuddin.
Skim padi Kampung Kaba membabitkan cadangan oleh Koperasi Agro Makanan Kampung Kaba Saratok Berhad yang dilihat sebagai menarik.
“Kita melihat ada niat besar penduduk di situ untuk menjadi sebahagian pengeluar beras utama Sarawak di kawasan Sungai Parit, Kaba.
“Apabila berjaya, projek skim padi ini akan meningkatkan pengeluaran dan seterusnya menyokong dasar agromakanan negara secara mampan dan berdaya tahan dengan menggunakan teknologi tinggi,” ujarnya.
Sekarang, pelbagai pihak jelasnya harus memperincikan cadangan projek pengeluaran beras secara besar-besaran di Daerah Saratok itu.
“Saya harap melalui pertemuan hari ini dapat menambah baik cadangan awal terutama penggunaan kaedah moden dan berteknologi.
“Antara lain melihat pemilihan baka beras yang paling berkualiti.
“Supaya suatu hari nanti golongan muda juga akan berminat untuk terlibat aktif dalam pertanian moden.”
Skim Padi Kampung Kaba dicadang menggunakan teknologi moden, amalan pertanian terbaik serta pengurusan sawah yang sistematik kerana objektif utama adalah untuk menjana pendapatan mampan kepada peserta koperasi.
Selain itu, ia bertujuan mentransformasikan sektor padi dengan menerapkan kaedah pertanian moden yang akan membantu meningkatkan pengeluaran padi Sarawak.
Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, Pegawai Tadbir Khas BDDA, Abang Mohamed Abang Turkey serta semua pemegang taruh turut hadir sama.






