KUCHING: Bandaraya Kuching bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak berstatus legenda apabila Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Kirin, sempena sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) 2026 berlangsung pada 24 dan 25 Januari ini.
Kejohanan itu akan diadakan di Arena Cascara, Kuching, yang menjadi gelanggang utama sepanjang dua hari kejohanan.
Pengerusi Kejohanan, Kho Hua Pheng berkata lapan pasukan mewakili pelbagai kelab dari seluruh negara serta wakil dari negara jiran akan berentap dalam kejohanan tersebut.
Menurut beliau, pasukan yang bertanding ialah Veteran Cina Perak, Beluga FC, Islanders FC dan Old Madrid FC (Kumpulan A), manakala empat lagi pasukan ialah Derga FC, Xin Hua FC (Singapura), PJL FC dan Hipmau FC (Sarawak).
“Lapan pasukan akan beradu nasib sepanjang dua hari kejohanan berlangsung dan kita menjangkakan pertembungan sengit antara kesemua pasukan ini,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata semua pasukan menyenaraikan ramai bekas pemain berstatus bintang yang pernah mewakili pasukan negeri dan negara.
Sebagai contoh, pasukan Hipmau FC diperkuatkan beberapa bekas pemain Sarawak seperti Wong Sai Kong, Saravanan A/L Muthia, Ching Hong Aik dan Ramesh Lai Ban Huat.
Menurut Kho, keunikan kejohanan itu ialah majoriti pemain yang terlibat terdiri daripada masyarakat berbangsa Cina.



