ARTIKEL

Gambar Hiasan

Pertimbang subsidi lima barangan asas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 perlu bermula dengan perkara yang paling dekat dengan kehidupan rakyat, kos sara hidup, kemiskinan dan jurang pembangunan sebelum bergerak kepada agenda lebih besar membina ekonomi serta masa depan negeri.

Penganalisis dan pemerhati politik Sarawak, Datuk Peter Minos berkata, dalam keadaan kos sara hidup terus menjadi beban, apa-apa sahaja langkah yang dapat meringankan tekanan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, perlu diberikan perhatian.

Beliau mencadangkan Kerajaan Negeri untuk mempertimbangkan subsidi 50 peratus bagi lima barangan asas iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan susu kanak-kanak.

“Dalam keadaan sukar seperti ini, sebarang bantuan sama ada dalam bentuk tunai atau barangan pasti dihargai rakyat, khususnya golongan miskin,” katanya kepada Suara Sarawak ketika diminta mengulas jangkaan terhadap Belanjawan 2027.

Pada masa sama Minos memberitahu, agenda kedua yang perlu diberi keutamaan ialah pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar supaya pertumbuhan pesat Sarawak tidak hanya dinikmati kawasan bandar.

“Kita mahu rakyat Sarawak bangkit bersama-sama dan pastinya tidak mahu masyarakat luar bandar ketinggalan dalam Sarawak yang sedang berkembang pesat,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pembangunan infrastruktur juga perlu terus menjadi keutamaan kerana ia menjadi asas kepada perkembangan ekonomi dan sosial, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, Sarawak memerlukan lebih banyak projek pembangunan ekonomi yang mampu mencipta kemakmuran, pekerjaan dan pendapatan.

“Premier kita sangat baik dalam kejuruteraan kewangan dan akan mendapatkan dana bagi membiayai apa yang diperlukan Sarawak. Kita sudah melihat hasilnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Minos berkata pendidikan dan pembangunan modal insan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang tidak boleh diketepikan.

Katanya, pendidikan tinggi percuma merupakan langkah penting untuk melahirkan lebih ramai anak Sarawak berilmu, berkemahiran dan mempunyai kepakaran bagi memenuhi keperluan industri baharu.

“Industri dan pembangunan baharu memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran serta kepakaran tinggi,” tegasnya.

Jelas beliau, Belanjawan 2027 juga perlu terus menyediakan ruang untuk menarik dan membangunkan industri baharu kerana sektor berkenaan penting untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti serta sumber pendapatan baharu kepada rakyat.

Selain itu, katanya, kebajikan penjawat awam dan agensi kerajaan sebagai jentera pelaksana pembangunan turut perlu diambil kira supaya dasar dan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

BERITA LAIN

Pelaburan RM218.5 bilion cipta 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,746 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah