KUCHING: Ekonomi Sarawak dijangka mengekalkan trajektori positif disokong oleh keadaan domestik yang memberangsangkan meskipun permintaan luar menunjukkan penyederhanaan, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya bagi 2026, pertumbuhan dijangka 5 hingga 6 peratus dipacu oleh perkembangan stabil dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
“Penggunaan swasta yang kukuh serta perbelanjaan sektor awam akan terus memacu pertumbuhan selari dengan usaha Sarawak membina ekonomi pelbagai dan bernilai tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran ekonomi global 2026 dan kebergantungan Sarawak terhadap sumber asli terutama minyak mentah hasil negeri bagi 2026 diunjurkan mencapai RM13.1 bilion sedikit rendah berbanding ramalan 2025.
Abang Johari berkata, anggaran hasil negeri bagi 2026 diperoleh daripada sumber utama iaitu hasil cukai berjumlah RM5.8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil yang dijangka.
Katanya, ia khususnya daripada Cukai Jualan Negeri sebanyak RM4.6 bilion termasuk minyak mentah gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum lain (RM3.5 bilion), minyak sawit mentah dan isirung sawit (RM885 juta), loteri (RM75 juta), produk aluminium, (RM88 juta) fero aloi (RM32 juta), produk kayu (RM26 juta) dan polisilikon (RM13 juta).
Tambahnya ia termasuk royalti air mentah (RM650 juta), royalti hutan dan premium kayu (RM226 juta), serta royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain (RM301 juta).
Manakala, hasil bukan cukai berjumlah RM6.3 bilion yang sebahagian besarnya diperoleh daripada bayaran pampasan tunai bagi menggantikan hak minyak dan gas (RM2.6 bilion), pendapatan dividen (RM2.3 bilion), pendapatan faedah (RM811 juta), premium tanah (RM350 juta), pampasan tunai bagi menggantikan duti import dan eksais ke atas produk petroleum (RM120 juta), dan lain-lain termasuk lesen yuran perkhidmatan permit dan sewaan (RM150 juta).
Selain itu, terimaan bukan hasil dijangka berjumlah RM29 juta terutama daripada bayaran ganti rugi kelewatan kompaun yuran dan penalti.
Di samping itu, geran dan bayaran balik persekutuan diunjurkan mencecah RM899 juta terutama daripada pembayaran interim Geran Khas berjumlah RM600 juta.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global kita sedang mempercepatkan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli.
“Strategi kita memberi tumpuan kepada pembangunan sektor strategik memperkasa transformasi digital dan mengamalkan pengurusan sumber yang mampan.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan membuka laluan baharu untuk pertumbuhan ekonomi, malah meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjamin kelestarian kewangan negeri untuk jangka panjang,” katanya.



