Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) merupakan persatuan yang kian aktif melaksanakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan di bandar raya Kuching sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Matlamat utama persatuan ini ditubuhkan adalah untuk mengenal pasti dan menyatukan warga Islam yang berasal dari Saribas.
Seperti yang tercatat dalam perlembagaan persatuan, terdapat tiga objektif utama iaitu menggiat dan memperkukuh hubungan dalam kalangan ahli.
Seterusnya untuk memberi perhatian kepada kebajikan ahli dan keluarga mereka serta menganjur aktiviti sosial, budaya, agama, pendidikan dan ekonomi kepada ahlinya.
Setakat ini keahlian Perwaris memiliki sekitar 500 ahli dan keahlian ini dijangka meningkat dari masa ke masa.
Jawatankuasa berkenaan diketuai oleh Pengerusi Persatuan Profesor Madya Dr Bolhan Budeng dan dibantu oleh setiausaha persatuan Ahmad Iskandar Abu Samat.
Perwaris berjaya mengadakan Mesyuarat Agung tanpa pemilihan bagi kali kelapan di Hotel Dormani pada 15 Oktober lalu.
Sebelum mesyuarat dimulakan, sejarawan Sarawak Datuk Dr Sanib Said diundang khas untuk menyampaikan aktiviti sembang sejarah yang bertajuk “Sejarah Saribas”.
PROGRAM TAHUNAN
Mesyuarat agung dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Perwaris diikuti pengesahan minit mesyuarat yang lepas dan laporan setiausaha persatuan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh Perwaris pada 2022 dan 2023 ialah kursus fertigasi bagi penduduk Bahagian Betong di Kampung Meludam pada 29 Oktober 2022 di Dewan Fama Meludam dengan kehadiran 72 peserta.
Seterusnya, Persidangan Antarabangsa Tranformasi Pendidikan Kedua dan I-CET 2022 kali kedua. Seminar Falak Peringkat Negeri Sarawak pada 9 Disember, Jerayawara Seminar Pemantapan Akidah Peringkat Bahagian Betong pada 13 Mac lalu, Khidmat Bantuan Kebajikan Perwaris dan sebagainya.
Terdapat segelintir penduduk Saribas mendakwa aktiviti yang dijalankan oleh Perwaris hanya berlangsung di bandar raya Kuching adalah tidak benar.
Perwaris bahkan menganjurkan aktiviti di Meludam dan di Spaoh, Betong.
Justeru, Perwaris sentiasa merancang dan melaksana aktiviti yang relevan dan mendatangkan manfaat kepada ahli dan masyarakat sekitar.
Perwaris juga dijadualkan melaksanakan aktiviti di luar bandar raya Kuching iaitu di Kem Wawasan Sempadi Lundu untuk aktiviti “Hari Keluarga dan Sukaneka” pada Januari atau Februari 2024.



