KOTA SAMARAHAN: Kumpulan PeS muncul juara kejohanan Mobile Legends: Bang Bang yang berlangsung di Bilik Gunasama, Kolej Tun Ahmad Zaidi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Sabtu, 26 April.
Empat pemain yang terdiri daripada pelajar UNIMAS berjaya mengetepikan 15 pasukan lain dalam saingan yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 7 petang.
Kehebatan pasukan PeS mula terserlah selepas menewaskan pasukan pilihan, Kudrat UNIMAS, yang juga menunjukkan prestasi cemerlang hingga peringkat separuh akhir.
Saingan final berlangsung sengit, dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan menggunakan taktikal masing-masing.
Kesilapan terakhir memusnahkan impian Kudrat untuk meraih kemenangan.
Sebagai juara, PeS membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150 dan baucar Gizmo Arena bernilai RM50.
Naib juara menerima RM100 beserta baucar, manakala tempat ketiga, Baba & Friend, meraih wang tunai RM50 dan baucar RM50.
Pengarah Program, Marcos Rantai, menyatakan bahawa program ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan mental dan sosial pelajar melalui penyertaan dalam pertandingan sukan dalam talian.
Ia juga bertujuan memperkasakan e-sukan kepada belia, khususnya pelajar, serta mewujudkan suasana kompetitif yang aman dan adil.
Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menonjolkan bakat dalam pertandingan peringkat universiti.
Program yang mendapat sokongan Instalock ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang.



