Pesanan penting untuk semua pelajar IPT yang sudah balik ke rumah

KUCHING: Mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini telah membuat keputusan supaya semua pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan yang telah balik ke rumah dan belum membuat saringan Covid-19 supaya menjalani saringan tersebut di bahagian masing-masing.

JPBN dalam kenyataan media sebentar tadi berkata, semua pelajar yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah juga diminta untuk terus berada di rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar.

Sekiranya mereka didapati berada di tempat awam, tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa dibawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999.

Selain itu, JPBN bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertingkatkan keupayaan pasukan penjejakan kontak bagi mengesan dengan secepat mungkin kontak rapat kepada kes positif yang baharu.

JPBN sekali lagi menegaskan bahawa aktiviti ‘Ngabang Gawai’ dari rumah ke rumah dan rumah panjang semasa menyambut Hari Gawai tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, seramai 59 individu dalam pemantauan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 buah hotel adalah seramai 1,696 orang.

Manakala, terdapat dua lokasi operasi nyahcemar telah dilakukan hari ini menjadikan bilangan kumulatif lokasi nyahcemar di Sarawak sebanyak 778.