Persatuan Pesara Guru Sarawak (PPGS) terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam menghubungkan bekas pendidik apabila berjaya menganjurkan majlis ramah-tamah Aidilfitri yang meriah dan penuh makna baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di hotel terkemuka di bandar raya ini menghimpunkan kira-kira 60 ahli, terdiri daripada bekas Pengarah Pendidikan Sarawak, bekas guru besar serta guru daripada pelbagai kaum yang pernah menabur bakti di seluruh pelosok negeri.


Acara tahunan ini merupakan kali kedua diadakan di lokasi yang sama, sekali gus menjadi penutup tirai sambutan Aidilfitri bagi PPGS pada tahun ini.
Lebih istimewa, kehadiran ahli dari kawasan jauh seperti Lundu, Debak, Saribas dan Sarikei membuktikan komitmen tinggi dalam memastikan hubungan silaturahim terus terjalin.
Pengerusi pengelola majlis, Dr Loji Saibi, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas sambutan yang memberangsangkan berbanding dengan tahun sebelumnya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang hadir, walaupun ada yang terpaksa menempuh perjalanan jauh.
Menurutnya, penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja sebagai platform sosial, malah menjadi ruang untuk bekas guru bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman selepas bersara.

“Majlis seperti ini memberi peluang kepada kita untuk berkumpul semula, berinteraksi dan mengeratkan hubungan yang telah lama terpisah. Inilah kekuatan sebenar persatuan kita,” katanya.
Dr. Loji turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Dr. Abang Ismail Abang Julhi yang baharu dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Khidmat Profesional di Institut Aminuddin Baki.
Walaupun tidak dapat hadir, beliau turut menyampaikan salam dan ucapan “Selamat Hari Raya” kepada semua ahli.
Dalam suasana penuh keakraban, majlis tersebut turut diserikan dengan doa selamat serta ucapan daripada Pengerusi PPGS, Datu Abdillah Adam, yang juga merasmikan acara berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pelibatan aktif ahli dalam setiap program yang dianjurkan, tanpa terlalu menumpukan kepada jumlah keahlian semata-mata.

“Jumlah ahli bukan ukuran utama, sebaliknya pelibatan aktif dalam setiap aktiviti yang menentukan kekuatan persatuan. Kita mahu ahli terus berhubung, sama ada melalui program atau komunikasi harian,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi berita gembira apabila beliau bersamasama isteri dan beberapa ahli lain berpeluang menunaikan ibadah haji pada musim akan datang. Menurutnya, peluang tersebut merupakan satu anugerah yang tidak dijangka dan amat disyukuri.
Dalam pada itu, Abdillah turut mengingatkan ahli agar sentiasa menjaga kesihatan dan kekal aktif, selari dengan usia majoriti ahli yang kini mencecah antara 60 hingga 70 tahun.
“Pada usia ini, kita perlu lebih peka terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri. Aktiviti persatuan boleh menjadi salah satu cara untuk kita kekal aktif dan positif,” katanya.
Tambah beliau, PPGS turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan antara kaum dalam kalangan pesara guru.

“Melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti majlis minum petang, sambutan perayaan dan program sosial, hubungan erat antara ahli terus dipupuk dalam suasana harmoni.
“Bagi memastikan keharmonian ini terpelihara, ahli juga diingatkan agar tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan politik dalam platform komunikasi persatuan, termasuk kumpulan WhatsApp,” ujarnya.
Katanya, selain aktiviti sosial, PPGS juga komited untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan negeri.

Antara fokus utama ialah berkongsi pengalaman bersamasama bakal guru di institut pendidikan guru di Sarawak sebagai persediaan sebelum mereka memulakan kerjaya.
Dalam usaha memperkasakan lagi peranan persatuan, beliau berkata pelbagai aktiviti menarik dirancang pada masa hadapan, termasuk demonstrasi masakan, penulisan kreatif serta lawatan ke destinasi terpilih.
“Cadangan untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan semasa majlis juga sedang dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan ahli.
“Dengan keahlian seramai kira-kira 350 orang, PPGS terus mengorak langkah sebagai platform yang relevan dan bermanfaat kepada pesara guru.

“Persatuan ini bukan sahaja menjadi medium untuk berkumpul, malah memberi ruang kepada ahli untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya lagi.
Majlis yang berlangsung dalam suasana ceria itu diakhiri dengan jamuan Aidilfitri serta persembahan nyanyian lagu raya oleh ahli, sekali gus mencipta kenangan manis yang akan terus dikenang.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini membuktikan persatuan memainkan peranan penting dalam menghidupkan kembali semangat kebersamaan dalam kalangan pesara guru.
Lebih daripada sekadar pertemuan sosial, majlis ini menjadi wadah untuk terus aktif, berkongsi pengalaman dan menghargai jasa yang ditaburkan dalam dunia pendidikan.




