KUCHING: Wanita diseru tampil sebagai ejen perubahan dengan menyebarkan ilmu dan inspirasi yang mampu memperkasa masyarakat serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata wanita hari ini bukan sahaja menjadi tulang belakang keluarga, malah turut memacu pembangunan komuniti dan negara melalui peranan mereka sebagai pemimpin, pendidik, penjaga nilai dan ejen kesejahteraan sosial.

“Tema seminar ini, ‘Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera’, sangat tepat dalam menggambarkan kekuatan dalaman wanita yang bukan sahaja anggun di luaran, tetapi juga sejahtera jiwanya, matang emosinya dan mantap kepimpinannya,” katanya ketika merasmikan Seminar Wanita Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak pada hari ini.
Menurutnya, seminar tersebut memperkasa peranan wanita dalam pelbagai aspek menerusi sesi bual bicara dan forum ilmiah dengan topik-topik kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang menjadi tonggak penting bagi wanita serta warga emas.

“Saya difahamkan seminar ini menghimpunkan pelbagai pihak seperti ahli akademik, penjawat awam, pelajar, aktivis komuniti dan pemimpin wanita bagi berkongsi ilmu serta pengalaman yang relevan lagi menyeluruh,” jelasnya.
Katanya lagi, isu pengabaian terhadap warga emas juga perlu diberikan perhatian yang serius dan ditangani melalui pendekatan lebih holistik, inovatif serta berempati.
“Saya percaya idea serta solusi yang dikongsi oleh para panelis hari ini mampu membuka minda dan merangsang tindakan,” ujarnya.
Tambahnya, penganjuran program seperti ini bukan sahaja memperkasakan wanita, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi dengan masyarakat secara menyeluruh.
“Seminar anjuran Pertubuhan SALWA Malaysia dan PUSPANITA Cawangan Kementerian Pendidikan Tinggi ini membuktikan bahawa kedua-dua pihak sentiasa responsif terhadap keperluan semasa wanita, terutama dalam mengenal pasti strategi serta kaedah bagi menangani isu wanita dan keluarga di pelbagai peringkat,” jelasnya.



