Pesona bunga hutan hujan tropika yang mekar dengan warna memikat serta keharuman semula jadi kini menjadi tarikan baharu di Puyan Guun, sebuah lokasi santai keluarga yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Sarikei.
Meskipun sebelum ini Puyan Guun lebih dikenali sebagai destinasi riadah hujung minggu dan musim cuti sekolah, keindahan floranya yang luar biasa mula mencuri perhatian pencinta alam sekitar dan pengunjung yang mencari ketenangan.
Pemilik Puyan Guun, Roha Kushairi berkata, keharuman bunga hutan yang mekar mengikut musim memberi pengalaman unik kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke kawasan itu.
“Aroma hutan dan keindahan alam semula jadi benar-benar mengundang ketenangan, apatah lagi ketika bunga-bunga hutan sedang mekar,” katanya ketika ditemui.


Menurut Roha, kawasan tersebut dikelilingi hutan hujan tropika yang masih terpelihara, menjadikan setiap kunjungan seolah-olah membawa pengunjung menyelami alam semula jadi yang asli dan menyegarkan minda.
Beliau berkata, keindahan flora hutan di Puyan Guun bukan sahaja dapat dinikmati melalui pemandangan, malah dapat dirasai melalui udara.
“Apabila tiba musimnya, bunga hutan akan mekar serentak dan mengeluarkan aroma yang lembut tetapi menyenangkan. Ia sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Roha menjelaskan, Puyan Guun tercetus hasil idea bersama dengan suaminya selepas melihat potensi kawasan berkenaan sebagai tarikan pelancongan baharu berasaskan alam semula jadi.



