LIMBANG: Pesta Babulang dan Lumba Kerbau tahun ini dijangka lebih meriah kerana berlangsung serentak sempena Sambutan Perayaan Sarawak 60 Tahun Merdeka.
Pada kali ini, pesta yang bertemakan 60 Tahun Sarawak Merdeka: Babulang Jati itu bakal diadakan pada 2 hingga 4 Jun depan.
Menurut Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Joseph Blandoi, selain Lumba Kerbau dan Nakod Babulang (Menyambut Tetamu Kehormat Babulang), pesta bakal menampilkan acara Rakit Berhias.
“Sebagai sebuah masyarakat tebingan sungai, rakit merupakan pengangkutan pada zaman silam selain perahu, sewaktu keramaian seperti perkahwinan, acara makan selamat atau babulang.
“Rombongan akan menaiki rakit yang dihias menyusuri sungai menuju tempat keramaian sambil diiringi gendang tanggunggu, nyanyian tradisional (banding) dan gesekan biola,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi menambah kemeriahan pesta kali ini, katanya pertandingan Panglima Babulang juga akan diwujudkan semula selepas sekian lama tidak diadakan.
“Selain itu pertandingan Ratu Babulang, Puan Kebaya, gendang dan tarian juga akan turut diadakan
“Ekoran pembukaan sempadan, pesta kali ini dijangka akan menarik pengunjung dari negara jiran. Pada tahun lalu, walaupun sempadan masih ditutup seramai lebih 7,000 pengunjung menghadiri pesta tersebut,” katanya lagi.






