KEPELBAGAIAN kaum di Sarawak menyebabkan negeri ini lebih unik berbanding negeri lain di Malaysia.
Dengan wujudnya pebagai kaum ini juga menjadikan banyak perayaan atau pesta diadakan oleh suku kaum masing-masing.
Mengambil contoh kaum Melanau di Mukah, masyarakat di sini mengadakan Pesta Kaul sebagai pesta tradisi yang kaya dengan pelbagai adat dan budaya.
Selain kaum Melanau, kaum Kenyah Badeng turut mempunyai pesta besar-besaran iaitu Pesta Kebana. Pada tahun ini Pesta Kebana dilakukan di Data Kakus.
KEKALKAN BUDAYA TRADISI
Menurut warga Data Kakus, Wellyne Kulleh, 25, Pesta Kebana merupakan perayaan besar-besaran yang diraikan oleh kaum Kenyah Badeng di seluruh Malaysia termasuk negara Indonesia.
“Tujuan ia diadakan untuk menyatukan suku kaum Kenyah Badeng di Malaysia dan Indonesia yang berpindah-randah ke satu tempat dan mempunyai penempatan baharu mengikut keperluan sosial dan ekonominya.
“Selain itu, ia juga antara platform untuk mengekalkan serta memperkenalkan budaya dan tradisi suku kaum Kenyah Badeng kepada generasi baru.
“Semasa pesta diadakan, banyak perisian dan aktiviti yang dilakukan bukan sahaja untuk memeriahkannya, tetapi juga mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dedahnya, pada kali ini Data Kakus merupakan kampung tuan rumah yang mengelolakan Pesta Kebana pada 2023.
Sehubungan itu, katanya, banyak aktiviti yang diadakan semasa pesta tersebut berlangsung.
“Ini termasuklah Malam Kebudayaan dan Warisan seperti Ratu Cantik, pertandingan bermain sape’, aktiviti sukan seperti pertandingan bola sepak, bola tampar, badminton dan sebagainya.
“Untuk majlis perasmiannya pula, akan ada perbarisan lintas hormat dari pasukan bola sepak yang bertanding dan diikuti perbarisan beriringan melibatkan semua peserta.
“Perbarisan ini juga melibatkan semua penduduk Kenyah Badeng daripada seluruh tempat memakai pakaian tradisional,” jelasnya.
LIBATKAN SEMUA
Sementara itu, menurut seorang lagi penduduk Data Kakus, Lydiawati Jok, 24, Pesta Kebana yang diadakan sejak 1999 ini melibatkan semua penduduk kampung kaum Kenyah Badeng.
“Mereka terdiri daripada penduduk di kampung Data Kakus, Long Busang, Long Dungan, Lio Mato, Long Lawen, Long Malim, Long Urun, Senep, Dangang, Lepo Badeng Sungai Koyan, Long Gang dan Magan.
“Bagaimanapun, pesta ini tidak mempunyai sebarang pantang larang, tetapi semua penduduk kaum Kenyah Badeng harus menghormati antara satu sama lain ketika pesta diadakan.
“Namun, terdapat beberapa cabaran seperti kurang peruntukan dan fasiliti untuk mengadakan pesta ini serta tiada cuti bagi mereka yang berada jauh dari kawasan kampung,” jelasnya.
Tambahnya, Pesta Kebana ini setahun sekali dan diadakan serentak semasa perayaan Hari Gawai serta Hari Kaamatan selama tiga hari berturut-turut.
Lydiawati turut berharap Pesta Kebana ini memberi impak positif kepada masyarakat lain yang ada di Sarawak dan menunjukkan contoh kesatuan dalam sesebuah kaum untuk mengekalkan budaya serta warisannya.
“Pada masa sama, sebagai kaum Kenyah Badeng, kami berharap dengan adanya Pesta Kebana, kaum kami dapat dikenali oleh masyarakat lain dengan keunikannya yang tersendiri.
“Ini secara tidak langsung membantu mempromosikan budaya di Sarawak yang memiliki kesepaduan sosial yang tinggi, perpaduan yang utuh lagi makmur dan harmoni,” tambahnya.