MUKAH: Pesta Tarian Naga dan Tarian Singa 2026 menjadi medium terbaik dalam memupuk perpaduan masyarakat, kata Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata pesta itu disertai peserta dan masyarakat daripada pelbagai kaum, agama serta latar belakang menerusi penghayatan warisan budaya yang dikongsi bersama.

“Program ini bukan sahaja mengangkat seni tradisi masyarakat Tionghoa, malah memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pesta Tarian Naga dan Tarian Singa 2026 anjuran Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Setia Raja Mukah di Dewan Suarah Mukah, di sini, hari ini.

Mengulas penyertaan dalam pesta itu, Hanifah berkata ia menghimpunkan pasukan dari pelbagai bahagian di Sarawak.
Beliau berkata pesta itu menjadi platform untuk memperkenalkan, memelihara serta memperkasakan warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini.

Sehubungan itu, Hanifah menyambut baik penganjuran pesta tersebut sambil menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan untuk memastikan seni dan budaya tradisional terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.
“Program kebudayaan seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta mengetengahkan bakat, malah memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat menerusi aktiviti yang melangkaui perbezaan kaum, agama dan latar belakang.
“Diharapkan lebih banyak program berteraskan kebudayaan dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi meningkatkan penghargaan masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap khazanah warisan yang menjadi kebanggaan Sarawak,” tambahnya.



