SIMANGGANG: Petinju muda wanita Sarawak, Hamiesha Hamdan, diyakini mampu mewakili Malaysia di temasya lebih besar pada masa hadapan.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli, berkata Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak mencipta sejarah apabila pertama kali menganjurkan acara wanita.
“Hamiesha yang bertutup semua telah membuktikan beliau mampu memenangi pingat emas.
“Dengan level permainan yang bagus, saya yakin gadis berusia 17 tahun itu mampu mewakili Malaysia suatu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, malam tadi.
Jelasnya, PTM mahu melihat Malaysia mempunyai atlet wanita berbakat dalam acara tinju.
“Kalau boleh pada temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) di Bangkok nanti ada atlet yang mampu mewakili Malaysia.
“Sehubungan itu, penganjuran acara tinju wanita di SUKMA akan diteruskan, kita tidak akan berpatah balik.
“Walaupun sekarang hanya tiga kategori berat dipertandingkan, kita harap program pembangunan tinju wanita di peringkat negeri diperhebat dan diteruskan.
“Supaya pada SUKMA di Selangor nanti, sekurang-kurangnya 10 kategori berat untuk wanita boleh dipertandingkan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, Iruan memuji penganjuran acara tinju SUKMA di Simanggang yang berjalan lancar.
Paling penting, katanya, atlet menunjukkan satu peningkatan corak permainan yang cukup baik.
Sesuai ketersediaan Sarawak menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, beliau juga berharap akan ada atlet Sarawak yang akan mewakili pasukan Malaysia nanti.
Acara tinju yang menutup pentas saingannya malam tadi menyaksikan tuan rumah, Sarawak, sekadar berpuas hati di tempat kedua.
Sarawak meraih 11 pingat keseluruhan dengan empat emas, empat perak dan tiga gangsa, seterusnya gagal mengatasi pencabar utama, Pulau Pinang, yang berjaya meraih lima emas dan satu gangsa.
Acara tinju bermula 16 Ogos lalu melibatkan penyertaan 92 petinju lelaki dengan 12 kategori dipertandingkan.
Sementara itu, kategori wanita yang julung kali diperkenalkan berjaya menarik penyertaan 15 petinju.
Lebih 2,000 penonton dianggarkan memenuhi stadium setiap malam.



