SELANGOR: Keupayaan petinju Sarawak diyakini mampu terus menyerlah sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026.
Malah, mereka berpotensi mencipta kejutan sekali gus menghadiahkan pingat dalam setiap kategori.
Pengurus Pasukan, Datuk Johnny Ting Su King berkata, prestasi semasa yang ditunjukkan beberapa petinju yang sedang bersaing memperlihatkan potensi untuk mereka memenangi pingat buat Kontinjen Sarawak.

“Kita percaya dengan kemampuan petinju yang ada kali ini untuk menghadiahkan sebarang pingat.”
“Apa yang diharapkan mereka dapat sentiasa fokus pada setiap perlawanan yang dilalui,” ujar Johnny kepada Arena Suara Sarawak.
Setakat ini, dua petinju berjaya mara ke peringkat suku akhir selepas mengatasi lawan masing-masing.
Azriq Syakirin antara yang terdahulu mara ke suku akhir selepas menumpaskan Muhamad Arif dari Pahang dengan kemenangan tipis 28-27 dalam kategori 51 kilogram (kg).
Diikuti Khairil Hazami dalam kategori 54kg yang berjaya menumpaskan Zul Iman dari Terengganu dengan keputusan 30-26.
Penolong Ketua Kontinjen Sarawak (ACDM), Royston Valentine turut yakin petinju Sarawak mampu terus menyerlah.
“Kita optimis petinju Sarawak mampu terus menyerlah dan dapat menyumbang pingat untuk Sarawak,” ujarnya.
Beberapa perlawanan lain membabitkan petinju Sarawak akan berlangsung hari ini.


