KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menggerakkan empat pegawainya ke sebuah stesen minyak di Samarahan bagi menyiasat dakwaan pencemaran bahan api RON95 yang didakwa mengandungi diesel atau air susulan aduan tular di media sosial.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, siasatan tersebut dijalankan kira-kira jam 2.30 petang Rabu lalu sejurus menerima laporan daripada orang awam mengenai insiden berkenaan.
“Pemeriksaan awal di stesen minyak tersebut membawa kepada pembukaan kertas siasatan (Enquiry Paper) di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 berhubung pelanggaran Seksyen 6(1)(d) akta sama iaitu berkaitan perihal dagangan palsu.
“Tindakan segera ini diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang selain melindungi hak pengguna daripada sebarang unsur penyelewengan oleh pengedar atau peniaga bahan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Matthew Dominic menegaskan mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurutnya, bagi pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
“Bagi individu bukan pertubuhan perbadanan pula, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan berikutnya denda boleh mencecah RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“KPDN Sarawak turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai dan agensi berkaitan dalam menyalurkan maklumat bagi memperkukuh perlindungan hak pengguna di negeri ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin mengemukakan aduan berhubung salah laku perniagaan boleh menghubungi KPDN Sarawak melalui talian WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN,” ujarnya.
Sementara itu, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) memaklumkan penutupan sementara stesen minyak berkenaan telah dilakukan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Menerusi kenyataan PDB semalam, langkah tersebut diambil bagi memastikan proses penyiasatan dapat dilaksanakan dengan teliti dan tepat.
“Bagaimanapun, operasi semua stesen PETRONAS lain tidak terjejas dan berjalan seperti biasa. Pihak syarikat telah menghubungi pelanggan yang terlibat serta mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini dengan kadar segera.
“Pihak syarikat memandang serius setiap laporan yang diterima dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi pelanggan.
“Orang ramai yang terjejas digalakkan untuk menghubungi Mesralink di talian 1-300-88-8181 bagi mendapatkan bantuan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
Insiden tersebut tular di media sosial selepas beberapa pengguna mendakwa kenderaan mereka mengalami kerosakan sejurus mengisi minyak di stesen PETRONAS Samarahan Expressway pada Rabu lalu.



