KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mesti menghormati, patuh dan akur kepada undang-undang Sarawak, jangan ‘bengkeng’, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stakan Datuk Hamzah Brahim.
Menurutnya, Petronas juga seperti syarikat-syarikat lain yang beroperasi di Sarawak, mereka masih terikat serta tertakluk dengan undang-undang serta harus mematuhi perundangan negeri ini tanpa pengecualian.
“Saya ingin menekankan dan menggesa agar syarikat minyak negara itu harus patuh dan jangan menghina undang-undang Sarawak kerana semua pihak lain turut patuh dengan perundangan kita.
“Petronas ‘you are not above the law’, jangan bengkeng dan jangan entingal (jangan degil),” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan, 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Malah ujarnya, tindakan Petronas yang mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa rundingan dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) belum selesai sedangkan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengatakan perbincangan selesai seolah-olah memperlekehkan Kerajaan Sarawak.
“Janganlah hanya keangkuhan dan kedegilan Petronas ini mengganggu-gugat hubungan Kerajaan Sarawak dan Persekutuan,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat banyak pengorbanan besar untuk memastikan kestabilan Kerajaan Persekutuan hari ini dan bersetuju untuk mengadakan rundingan, maka hal tersebut haruslah dihormati.
“Kerajaan Sarawak pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang boleh mengubah landskap politik dalam Malaysia. Janganlah sampai Kerajaan Madani menjadi permaidani yang boleh dipijak-pijak kita selepas ini di Sarawak.
“Jangan mempermainkan orang Sarawak. Kita lembut budi bahasa dan menerima baik tetamu yang datang, tetapi jangan dimain-mainkan. Mereka lupa darah kita ialah darah pahlawan Rosli Dhoby, Rentap, agik idup agik ngelaban,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu katanya, Petronas mesti cepat memuktamadkan rundingan demi kepentingan serta memacu ekonomi dan pelaburan industri minyak dan gas.
Beliau turut menegaskan bahawa pendirian Petros sebagai agregator tunggal bermaksud tiada entiti lain menjadi pengagih gas di Sarawak dan ia berkuat kuasa pada awal tahun ini.


