Suntik nilai kekeluargaan dan tradisi sebagai anugerah bersama.#AnugerahKita#Petronas

KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini telah melancarkan iklan televisyen dan filem sesawang bertajuk “Baju Burong Apai” bersempena dengan perayaan Hari Gawai 2019 yang bakal tiba.

Majlis perasmian filem sesawang Gawai tersebut telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Filem ini menerapkan elemen ikatan kekeluargaan dan persaudaraan yang mengetengahkan watak utama Roy yang dilakonkan oleh Maclean Patrick Sibat.

Dia mendapat idea untuk menghimpunkan semua adik-beradiknya bersama-sama bagi menyambut perayaan Hari Gawai di rumah panjang di kampung halamannya.

Melalui sokongan kakaknya, Elly yang dilakonkan oleh Ernie Doris, sambil menggunakan Baju Burong milik ayahnya, Roy bertemu dengan semua adik-adiknya yang sudah lama tidak ditemuinya untuk tempoh beberapa tahun di Sarawak.

Pengurus Besar Petronas Sarawak, Zulaihi Mantali, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman, Pengurus Besar, Unit Perhubungan Media Kumpulan Komunikasi Strategik Joseph Edwin dan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak selaku pakar budaya Dr. Noria Tugang turut sama bergambar bersama dengan pelakon-pelakon dan pengarah untuk pelancaran filem sesawang ‘Baju Burong Apai’ .

Dalam situasi tersebut Roy mengalami perbalahan dengan adik bongsunya, Bob yang dilakonkan oleh Emmanuel Reuben, mengenai hal-hal yang telah berlaku pada masa lalu, dan ini menyebabkan Roy meninggalkan Baju Burong tersebut di restoran Bob.

Walaupun begitu, persengketaan itu berakhir apabila Bob akhirnya berdamai dengan abangnya dengan mengembalikan Baju Burong ayahnya. Ini jelas melambangkan rasa hormatnya kepada abangnya dan penerimaan terhadap masa lalu.

Pengarah filem tersebut Ismail Kamarul (Smiley) dan Pengarah bersama Philip Rom Kulleh mendedahkan bahawa filem itu mengambil masa tiga hari untuk dilakukan pengambaran di beberapa tempat termasuk rumah panjang di Ensengei, Sebuyau di Sadong Jaya, manakala proses suntingan filem tersebut dilakukan dalam tempoh tiga bulan.

Melalui durasi 4 minit dan 40 saat, filem sesawang ini telah mencapai jumlah sehingga 700,000 kali tontonan sejak mula-mula dipaparkan dalam talian di Facebook rasmi Petronas sejak hari Jumaat lalu.

Filem ini adalah salah satu daripada dua filem yang dihasilkan oleh Petronas bersama dengan “Kinoulian” untuk perayaan Kaamatan di Sabah.

Sidang media (dari kiri) bersama dengan Maclean Patrick Sibat , Emmanuel Reuben, Ernie Doris, Dr. Noria Tugang, Ismail Kamarul dan Philip Rom Kulleh.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan, Petronas, Zahariah (Liza) Abdul Rahman, berkata Petronas dengan sukacitanya memberi penghormatan kepada dua perayaan besar di Sabah dan Sarawak di mana syarikat itu telah berkembang pesat bersama dengan masyarakat sana.

“Kami cuba membawa dua cerita yang mencerminkan antara satu sama lain, iaitu keluarga, tradisi dan nilai-nilai norma yang kita kongsikan sebagai rakyat Malaysia, namun ia diterjemahkan dalam gaya tersendiri dengan melambangkan keunikan yang ada di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Menyentuh filem tersebut beliau berkata ia menceritakan konflik dan penyelesaian yang berlaku dalam sesebuah keluarga yang besar, dari sebuah luka lama yang diharap dapat disembuhkan dan membantu mereka menjadi lebih utuh dan kekal bersama.

Menerusi tema #AnugerahKita, filem ini mengajak semua orang untuk menghargai nilai keberkatan yang telah dimiliki di dalam negara antaranya nilai persahabatan, keunikan masyarakat majmuk, selain kepelbagaian perayaan yang dinikmati oleh masyarakat berlainan agama di dalam sebuah negara termasuklah kepelbagaian makanan dari pelbagai budaya.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar Petronas Sarawak, Zulaihi Mantali, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman, Pengurus Besar, Unit Perhubungan Media Kumpulan Komunikasi Strategik Joseph Edwin dan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak selaku pakar budaya Dr. Noria Tugang.

Pengarah Filem Ismail Kamarul

 

Pengarah Filem Bersama Philip Rom Kulleh bersama dengan Pelakon Utama Maclean Patrick Sibat .

 

Suara Sarawak