Petronas sokong program dasar membaca negara

BINTULU: Sebagai usaha menggalakkan tabiat membaca di awal usia, anak syarikat PETRONAS, Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) baru – baru ini telah  menubuhkan perpustakaan mini di SK Sungai Selad, Kuala Tatau bagi memupuk tabiat suka membaca bagi di kalangan 151 pelajar sekolah berkenaan.

Projek ‘Perpustakaan Mini’ di SK Sungai SELAD oleh MLNG Sdn Bhd dilaksanakan bagi menyokong program Dekad Membaca Nasional 10 tahun Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada masa ini, perpustakaan mini sekolah terbabit dipenuhi dengan buku sumbangan MLNG dan kakitangannya.

Buku-buku tersebut telah dipilih dengan teliti untuk memenuhi keperluan pelajar terutamanya dalam kemahiran menulis bahasa serta memperkayakan sumber pembelajaran sekolah.

Simbolik  pelancaran Perpustakaan Mini, hari ini dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Fred anak Entau dan Ketua Pegawai Eksekutif MLNG yang diwakili oleh Ir. Pau Kiew Hua.

Berucap pada majlis ringkas pelancaran, Pau berkata inisiatif itu bertujuan  menggalakkan tabiat membaca seusia awal di kalangan pelajar di kawasan syarikat beroperasi.

Sebagai sebuah organisasi, niat kami adalah untuk melakukan yang terbaik dalam memberikan akses pendidikan kepada masyarakat setempat di mana kami beroperasi, “katanya.

Bersempena dengan pelancaran itu, kakitangan MLNG bersama kakitangan sekolah dan pelajar mengadakan aktiviti gotong royong untuk membersihkan dan membaiki asrama sekolah.

Kakitangan MLNG turut mengadakan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan untuk pelajar seperti pertandingan mewarna dan ceramah motivasi untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan  Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.|

Pihak MLNG turut  menyumbang bilik tidur dan keperluan asas sekolah seperti cadar, almari simpanan, tuala, beg sekolah dan set alat tulis untuk para pelajar manakala kontraktor PETRONAS, Kemudi Harta Sdn Bhd menyumbangkan 100 set bingkai katil kayu.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti di Sarawak.

Guru besar SK Sungai Selad, Chapun Anak Dawin dan Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sungai Selad, Tr. Isa Anak Megong hadir sama.