ARTIKEL

Awang Tengah merasmikan Irau Aco Lun Bawang Ke-39 di Arena Lawas, semalam.

PETROS diberi lesen jalankan aktiviti minyak dan gas di Limbang, Lawas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) kini telah diberikan lesen bagi menjalankan aktiviti dalam sektor minyak dan gas di Limbang serta Lawas, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan kawasan utara Sarawak, selain penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi.

“Ia juga akan memacu pembangunan infrastruktur serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan dengan Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan,” katanya ketika merasmikan Irau Aco Lun Bawang Ke-39 di Arena Lawas, semalam.

Menurutnya, Lawas mempunyai potensi besar sebagai hab pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya menerusi aset seperti tanah tinggi, pantai, air terjun serta kepelbagaian warisan masyarakat yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh agenda pembangunan negeri menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan memastikan kemajuan ekonomi bergerak seiring usaha memelihara warisan budaya, identiti serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan warisan menjadi pendekatan utama kerajaan bagi memastikan kemajuan yang dicapai kekal inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Budaya dan adat ialah identiti kita. Sarawak umpama sebuah taman bunga yang berwarna-warni, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati. Inilah kekuatan yang perlu terus kita pertahankan,” tegasnya.

Beliau menambah, pembangunan Sarawak kini dipacu menerusi sektor ekonomi bernilai tinggi seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, semikonduktor, aeroangkasa, pertanian moden dan pelancongan.

“Usaha ini dilaksanakan sambil mengekalkan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar serta kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh agenda pembangunan sosial menerusi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta pemberian biasiswa penuh kepada pelajar.

“Biasiswa ini diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan,” tambahnya.

Mengulas mengenai Irau Aco Lun Bawang, ujarnya, ia bukan sekadar memartabatkan budaya masyarakat Lun Bawang, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan memelihara identiti budaya sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan Baru Bian, wakil ADUN Bukit Sari Unus Tambi, Residen Bahagian Limbang serta Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Jerry Siran Langan.

Awang Tengah merakam gambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Irau Aco Lun Bawang Ke-39 di Arena Lawas, semalam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU