KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) semalam bagi mewujudkan kerjasama strategik bersama Pusat Latihan Teknologi Termaju (ADTEC) Kampus Miri.
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM), semalam, sekali gus mewujudkan kerjasama dengan Pusat Latihan Teknologi Termaju (ADTEC) Kampus Miri.
Menerusi kolaborasi tersebut, PETROS akan bekerjasama dengan kampus ADTEC di seluruh Sarawak bagi melaksanakan model latihan berasaskan kompetensi yang selari dengan keperluan industri semasa.
Inisiatif berkenaan menyasarkan seramai 500 rakyat Sarawak menjelang tahun 2026 untuk dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.
Naib Presiden Kanan Modal Insan, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan PETROS, Ismail Said berkata, permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dan bersedia industri dijangka terus meningkat seiring kemajuan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Ini menjadikan kerjasama dengan rakan penyedia latihan semakin penting bagi memastikan rakyat Sarawak memperoleh kemahiran yang relevan, pendedahan praktikal serta keyakinan untuk merebut peluang yang tersedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program PETROS ELEVATE yang menyediakan laluan pembangunan kerjaya melalui program pembinaan kapasiti yang lebih tersusun.
Sejak diperkenalkan, program berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 500 anak tempatan melalui kerjasama industri bagi menyokong objektif SGR serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Menerusi program ELEVATE, PETROS terus mempertegas komitmen dalam menyokong pembangunan tenaga kerja di Sarawak selain memperluas akses kepada peluang latihan teknikal yang berstruktur.
Individu yang berminat termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh menghubungi ADTEC Kampus Miri melalui laman sesawang https://www.ilpmiri.gov.my untuk maklumat lanjut dan prosedur permohonan.



