SEBUYAU: Kerajaan Sarawak secara rasminya melantik Petroleum Sarawak Sdn Bhd sebagai gas aggregator di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, lantikan dilaksanakan berdasarkan kelulusan pindaan Ordinan Agihan Gas 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2023 sebelum berkuatkuasa pada 1 Februari 2024.
“Dengan pelantikan itu, Petros diberi mandat dan tanggungjawab untuk mengumpul gas asli, menyimpan, mengedar dan menentu harga pasaran gas asli di seluruh Sarawak.
“Petros juga bertanggungjawab memastikan pembangunan, operasi dan penyelenggaraan jaringan dan sistem gas di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, usaha ini dijangka akan meningkatkan penggunaan gas asli berdasarkan Sarawak Fas Roadmap (SGR) di samping menggalakkan pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam sektor gas di Sarawak.
Tegasnya, sebagai gas aggregator, Petros telah mengadakan libat urus dengan semua 23 syarikat gas huluan dan sembilan gas hiliran pada Rabu (3 April) dan Jumaat (5 April).
Untuk rekod katanya, sebanyak 1.8 juta tong gas bersubsidi berwarna merah dan hijau terdapat di pasaran dengan Petrosniaga kini mempunyai 65 peniaga dan 280 sub-peniaga di seluruh Sarawak.
Terdahulu, Julaihi bersama pihak Petros mengadakan program ziarah Ramadan di Kampung Sebangan.






