ARTIKEL

Dr Sim, ketika bersama pesakit dan rakan-rakan perubatan di Pusat Jantung Sarawak, Selasa lalu

Petugas kesihatan bekerja melebihi waktu demi pesakit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kekurangan tenaga kerja di hospital awam Sarawak semakin membimbangkan, dengan ramai petugas kesihatan bukan sahaja dibayar rendah, tetapi turut dibebani kerja berlebihan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata keadaan itu menzahirkan keperluan mendesak untuk memperkukuh autonomi kesihatan Sarawak, agar negeri ini mampu mengurus sumber manusia dan kemudahan kesihatan mengikut keperluan sebenar.

Beliau berkata, hasil lawatan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke tujuh hospital utama di Sarawak pada Julai lalu, iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS), Pusat Jantung Sarawak (PJS), Hospital Serian, Hospital Sibu, Hospital Kapit, Hospital Bintulu, dan Hospital Miri, mendapati negeri ini memerlukan tambahan sebanyak 11,127 kakitangan kesihatan.

“Daripada jumlah itu, Sarawak memerlukan 508 pakar perubatan, 1,059 pegawai perubatan, dan 4,881 jururawat.

“Akhirnya, pihak KKM dari Kuala Lumpur sendiri mendapat pengalaman langsung dan mengesahkan apa yang telah Sarawak suarakan selama ini… mereka (petugas kesihatan) bukan sahaja dibayar rendah, tetapi juga dibebani kerja yang berlebihan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, malam tadi.

Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, menjelaskan bahawa kekurangan tenaga kerja menyebabkan ramai petugas kesihatan terpaksa bekerja melebihi waktu tanpa arahan rasmi kerana tidak sanggup melihat pesakit menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

“Staf kita tidak sanggup melihat pesakit menunggu berjam-jam di Jabatan Kecemasan sedangkan ada katil kosong di wad, tetapi tidak dapat digunakan kerana kekurangan jururawat. Mereka bekerja lebih masa dengan rasa tanggungjawab demi pesakit,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, selaku pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang akan memanggil mesyuarat peringkat tinggi bersama kementerian berkaitan bagi membincangkan pelaksanaan Autonomi Kesihatan Sarawak.

Dr Sim merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan di Sarawak yang kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik meskipun berdepan kekangan sumber dan bayaran tidak setimpal.

Dalam masa yang sama, beliau berkata Pusat Jantung Sarawak kini tersenarai antara 100 pusat jantung terbaik di Asia Pasifik, satu-satunya milik KKM dalam senarai berprestij itu, suatu pencapaian luar biasa bagi Sarawak.

Jelasnya, terdapat perbandingan bajet antara HUS dan Royal Brisbane Hospital di Australia, yang masing-masing mempunyai 1,000 katil.

“HUS hanya menerima bajet tahunan sekitar RM700 juta dengan 700 doktor, berbanding Royal Brisbane Hospital yang mempunyai bajet A$1.6 bilion (RM4.36 bilion) dengan 1,500 doktor. Saya yakin jika HUS diberi separuh daripada bajet itu, kita mampu berkhidmat setanding… malah mungkin lebih baik,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap kejayaan PJS dapat meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan Sarawak serta mengelakkan penghijrahan tenaga pakar ke luar negara yang menawarkan gaji dan suasana kerja lebih baik.

“Marilah kita terus fokus agar Sarawak dapat menikmati tahap penjagaan kesihatan setanding dengan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Setakat ini, kata Dr Sim, Sarawak mempunyai 4,275 katil hospital awam dan memerlukan tambahan 1,925 katil atau peningkatan 45 peratus, manakala jumlah doktor seramai 4,614 orang memerlukan tambahan 2,649 orang atau peningkatan 54.7 peratus.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha