ARTIKEL

Pewaris warisan manik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARU-BARU ini saya berpeluang menyertai bengkel unjut saong ‘eno’ dan melihat sendiri bagaimana telitinya teknik menghasilkan perhiasan kepala tradisional masyarakat Kenyah ini.

Pada awalnya, susunan manik yang kecil-kecil itu kelihatan sederhana. Namun apabila diperhatikan dengan lebih dekat, setiap satunya memerlukan ketelitian.

Benang perlu dipilih mengikut kesesuaian saiz manik, susunan perlu dilakukan dengan cermat dan tangan pula perlu sentiasa sabar agar setiap manik berada pada kedudukan yang betul.

Di situlah saya mula memahami bahawa sesuatu warisan yang kelihatan indah pada hasil akhirnya sebenarnya menyimpan proses pembelajaran yang panjang.

Lebih menarik, bengkel itu bukan sekadar mengajar teknik menghasilkan unjut saong ‘eno’. Di sebalik manik-manik yang tersusun itu, ada sebuah kisah tentang seorang ibu yang suatu ketika dahulu berusaha memastikan kemahirannya tidak berhenti pada dirinya.

Ibu kepada Jenny Tingang, 56, atau nama Kenyahnya Selarang, merupakan antara insan yang memperkenalkan seni manik itu kepadanya sejak kecil.

Ketika masih kecil, Jenny hanya melihat ibunya menghasilkan kraf tangan tersebut. Sedikit demi sedikit, rasa ingin tahu membuatkan dia mula mendekati ibunya dan mencuba sendiri.

Daripada enam beradik perempuan, hanya beliau yang benar-benar tertarik untuk mempelajari kemahiran itu.

Mungkin bagi ibunya ketika itu, mengajar anak membuat kraf hanyalah satu perkara biasa dalam kehidupan seharian.

Namun tanpa disedari, setiap kali tangan ibunya menunjukkan cara menyusun manik, setiap kali Jenny mencuba semula dan setiap kali kesilapan diperbetulkan, sebenarnya sedang berlaku satu proses pewarisan ilmu.

Ilmu itu tidak ditulis dalam buku. Tidak disimpan dalam fail. Tidak juga diajar melalui skrin. Ia berpindah dari tangan seorang ibu ke tangan seorang anak.

Beliau kemudiannya terus menghasilkan kraf manik selama lebih 20 tahun. Walaupun sudah lama mahir, beliau hanya membutikannya sendiri dan tidak pernah benar-benar mengajar orang lain.

Sampaillah suatu ketika dia mula memikirkan sesuatu yang lebih besar.

Jika hanya dia yang tahu menghasilkan unjut saong ‘eno’, apa akan berlaku apabila suatu hari nanti dia sudah tidak mampu lagi membuatnya?

Persoalan itu mungkin kedengaran mudah, tetapi bagi sebuah warisan tradisional, ia sangat besar maknanya.

Kerana warisan tidak hilang dalam satu malam. Ia hilang perlahan-lahan. Ia bermula apabila semakin kurang orang mahu belajar. Kemudian semakin sedikit tangan yang mahu mencuba.

Akhirnya, apabila generasi yang menguasainya sudah tiada, tinggal nama sahaja tanpa lagi kemahiran untuk menghasilkannya.

Sebab itu langkah cilik Jenny untuk mula mengajar terasa begitu bermakna.

Bengkel yang dianjurinya itu merupakan pengalaman pertamanya sebagai tenaga pengajar. Namun daripada apa-apa yang dapat dilihat, sehari lainnya terlalu singkat untuk benar-benar menguasai seni berkenaan.

Manik-manik yang kecil memerlukan mata yang teliti, jari yang cekap dan kesabaran yang tinggi.

Kemahiran sebegini tidak boleh dikuasai hanya dengan melihat sekali. Perlu cuba. Perlu tersilap. Perlu buka semula. Kemudian cuba lagi.

Sebab itulah kesinambungan bengkel amat penting. Kalau hari ini belajar, kemudian berbulan-bulan tidak menyentuh manik, kemahiran itu mungkin kembali hilang. Minat juga boleh pudar.

Namun suasana bengkel tersebut memberi sedikit harapan.

Ada anak muda berusia sekitar 22 tahun yang sanggup duduk belajar kemahiran tradisional yang mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai sesuatu yang sudah ketinggalan zaman.

Lebih menarik, ada juga peserta daripada kaum Cina yang menunjukkan minat terhadap seni manik Kenyah ini.

Jarang kita melihat pemandangan seperti itu — apabila sesuatu kraf yang lahir daripada satu kelompok masyarakat menarik perhatian mereka yang datang daripada latar belakang berbeza.

Pada saya, di situlah warisan mula berkembang. Ia tidak lagi hanya menjadi milik satu generasi atau satu kelompok, sebaliknya menjadi sesuatu yang boleh dikenali, dihargai dan dipelajari oleh sesiapa sahaja yang mempunyai minat.

Kemudian ada pula peserta paling berusia, seorang wanita kaum Kayan berusia 79 tahun. Usia itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan kita kagum.

Lebih menggumkan apabila beliau tetap datang untuk belajar walaupun penglihatannya sudah kabur.

Kesukaran memasukkan benang ke dalam manik menjadi cabaran yang nyata, tetapi semangatnya untuk mencuba tetap ada.

Melihatnya membuatkan saya terfikir bahawa belajar tidak mempunyai had usia. Pada usia 22 tahun, seseorang masih boleh membuka ruang untuk mengenali warisan.

Pada usia 79 tahun pula, seseorang masih mempunyai keinginan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Dan di tengah-tengah kedua-dua generasi itu, ada Jenny yang berdiri sebagai penghubung. Ilmu yang dipelajarinya daripada ibunya dahulu, kini cuba disampaikan pula kepada orang lain.

Barangkali inilah cara paling sederhana untuk memastikan sesuatu warisan terus hidup. Bukan dengan hanya mempamerkannya. Bukan sekadar menyebut bahawa ia warisan nenek moyang.

Tetapi dengan mengajar seseorang cara membuatnya. Memberi mereka peluang memegang manik. Mengajar mereka memasukkan benang. Membiarkan mereka tersilap. Kemudian membimbing mereka mencuba semula.

*Unjut saong eno’* pada akhirnya bukan hanya tentang keindahan perhiasan kepala masyarakat Kenyah.

Di sebalik setiap manik yang disusun, ada tangan seorang ibu, kesabaran seorang anak dan harapan agar kemahiran itu tidak berhenti pada satu generasi.

Jenny mungkin satu-satunya daripada enam beradik perempuan yang memiliki untuk mewarisi kemahiran ibunya.

Tetapi kini dia tidak mahu menjadi satu-satunya orang yang tahu. Dia mahu ilmu itu terus bergerak. Daripada seorang kepada seorang yang lain. Daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Kerana warisan yang benar-benar hidup bukanlah warisan yang hanya kita simpan. Ia adalah warisan yang kita ajarkan.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium