SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak hari ini menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai RM1.1 juta di sini menerusi Op Taring Bravo 1.
Serbuan yang dilaksanakan di sebuah premis sekitar Sibu itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan.

Dalam operasi yang dijalankan pada jam 9.30 pagi, Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Dr Che Ghazali Che Awang berkata, sepasukan anggota dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu telah menyerbu premis berkenaan yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan minyak diesel bersubsidi secara haram.
Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemukan sebanyak 9,000 liter minyak diesel yang disimpan tanpa kebenaran, serta merampas dua lori yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1,148,400 mengikut harga pasaran semasa.
“Kedua-dua suspek yang ditahan, berusia dalam lingkungan 44 hingga 48 tahun, telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Sibu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Che Ghazali memaklumkan sejak pelaksanaan Op Taring Briged Sarawak PGA pada 1 Januari hingga 12 Februari lepas, pasukan itu telah mencatatkan kejayaan luar biasa dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM71.9 juta.
Menurutnya lagi, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 44 kes berjaya dibongkar, membabitkan penahanan seramai 87 individu, termasuk 73 warga tempatan dan 14 warga asing, serta rampasan 37 kenderaan pelbagai jenis.
PGA Briged Sarawak menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan dapat dibanteras secara tuntas, sekali gus melindungi kepentingan rakyat dan negara.



