PGA gagalkan cubaan seludup 1,600 karton rokok

KUCHING: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am Kuching berjaya mengagalkan cubaan menyeludup 1,600 karton rokok jenis ‘Ace Merah’ dianggar bernilai RM304,000 di sebuah rumah kedai terbiar di Batu 7, di sini.

Serbuan di bawah operasi Op Libas itu dilakukan kira-kira 10.45 pagi semalam hasil risikan.

Pegawai Pemerintahnya, Supt Rosdi Inai berkata seorang lelaki disyaki penjaga premis itu bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil maklumat yang diperolehi dipercayai rokok terbabit diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan,” katanya kepada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, kes diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barangan dan maksima 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Rosdi berkata sepanjang tahun ini jumlah nilai rampasan pelbagai barangan seludup dan balak melalui Op Awas, Op Batas, Op Libas dan Op Bersepadu sudah mencecah RM7.39 juta, manakala tahun lepas RM2.25 juta dan pada 2017, RM2.66 juta.

“Jumlah nilai keseluruhan rampasan pelbagai barangan ketika operasi-operasi terbabit dari 2017 hingga 2019 sudah mencecah RM12.31 juta,”katanya. – Bernama