PGA Sarawak berjaya merampas barangan, haiwan terancam bernilai RM1.16 juta

MIRI: Tanduk rusa, kayu gaharu, pelbagai spesis burung terancam dan biawak yang telah diawet antara barangan dirampas Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri dalam Ops Bersepadu Khazanah (OBK) di dua lokasi berbeza di sini.

Dalam operasi khas itu, dua lelaki tempatan turut ditahan bersama pelbagai spesis haiwan terancam, bahagian binatang liar dan kayu gaharu, dengan nilai keseluruhan barang rampasan sebanyak RM1.16 juta.

Pegawai Memerintah Batalion 12 PGA, Superintenden Tan Hiap Seng berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun di sebuah rumah di Taman Bekenu, Sebuti pada jam 10.15 pagi, Rabu lalu.

Menurutnya, rampasan adalah 18 burung daripada spesis terancam dan dua tupai Sugar Glider (Petaurus Breviceps) yang dianggarkan bernilai RM30,150 dalam serbuan ke atas sebuah premis milik lelaki tempatan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen serta permit sah untuk memiliki semua spesies hidupan liar yang berada di premis itu,” katanya pada sidang media di sini, tadi.

Tambahnya, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan di sebuah premis di Jalan Raja di sini pada jam 12.15 tengah hari semalam yang membawa kepada penemuan 19 kilogram kayu gaharu pelbagai saiz dan gred, lima tanduk rusa lengkap dengan kepala, 19 tanduk rusa pelbagai saiz dan bentuk, dua ekor biawak yang telah diawet dan dua ekor kura-kura yang dianggarkan bernilai RM1.13 juta.

“Kedua-dua lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan manakala semua hidupan liar terbabit dirampas dan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Miri.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 29 Sarawak Wildlife Protection Ordinance 1998,” ujar beliau.

Suara Sarawak