PGA Sarawak rampas rokok kretek RM1.92 juta

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki cuba menyeludup rokok kretek bernilai kira-kira RM1.92 juta, di sini.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki berusia 54 tahun itu berjaya ditahan pasukan PGA di kawasan Perindustrian Muara Tabuan, kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

“PGA telah membuat pemantauan di sem padan Bau dan Serikin sebelum bertindak mengekori lori dipandu lelaki tersebut sehingga ke kawasan perindustrian berkenaan sebelum menahannya.

“Semasa ditahan suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen sah yang berkaitan dan hasil pemeriksaan lanjut PGA menemui 8,000 karton rokok jenis kretek di dalam lori terbabit,” katanya kepada sidang media, di sini hari ini.

Khaw berkata, berdasarkan risikan yang dibuat, rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, disimpan di dalam kargo di kawasan perindustrian terbabit, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan seperti di Sibu, Miri dan Bintulu.

“Lelaki ini kita percaya hanya pemandu, di belakangnya adalah satu sindiket, kita juga percaya dalam satu bulan, banyak trip seumpamanya dibuat sindiket ini.

“Kita percaya memang sindiket ini beroperasi secara berleluasa, pihak kita sentiasa ketatkan kawalan kita di sempadan memang kita akan ikut mereka dan sampai masa kita serbu,” katanya.

Turut dirampas lori tiga tan yang digunakan unutk menyeludup rokok-rokok tersebut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang tahun ini sehingga semalam, PGA Sarawak telah berjaya merampas pelbagai jenis rokok, arak dan balak yang cuba diseludup bernilai RM30.66 juta. – Bernama