KEMENANGAN besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kejayaan mempertahankan momentum di Negeri Sembilan baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Di sebalik prestasi dan reputasi PH yang tidak begitu baik dan kerjasama tidak formal antara BN dengan PAS di Negeri Sembilan, maka sudah terang lagi bersuluh, bahawa ia memihak kepada BN.
Keputusan di Melaka, sudah dapat diduga.
Jika PRN diadakan, tentu sekali lagi, BN akan senyum lebar. Keputusan berkenaan merupakan perkembangan politik yang signifikan dalam landskap politik Malaysia.
Adakah ini merupakan mimpi ngeri bagi PH, terutama PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Adakah hal ini bermakna, masa depan BN lebih cerah berbanding dengan PH?
Adakah PMX akan menjadi XPM?
Dan, adakah PRU akan segera diadakan?
Kedua-dua keputusan ini bukan sahaja memberi gambaran tentang perubahan sentimen pengundi, malah menjadi petunjuk awal terhadap corak sokongan rakyat menjelang PRU akan datang.
Walaupun keputusan PRN tidak semestinya mencerminkan keputusan pilihan raya persekutuan, ia tetap menjadi kayu ukur penting terhadap kekuatan parti, strategi kempen dan tahap keyakinan rakyat.
Di Johor, BN mencatat kemenangan besar dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai parti dominan di negeri tersebut.
Keputusan ini jauh mengatasi pencapaian parti-parti lain dan menunjukkan peningkatan ketara berbanding pilihan raya sebelumnya.
Terdapat angin perubahan yang ketara di kedua-dua negeri terbabit.
Pola pengundian, sebagaimana terbukti daripada jumlah kerusi dan jumlah undi yang dimenangi pemenang, membuktikan ada kewajaran untuk PH, terutamanya Anwar untuk berasa risau.
Kemenangan tersebut membawa beberapa maksud penting.
Prestasi berkenaan memperlihatkan bahawa BN masih mempunyai jentera parti yang kukuh dan tersusun. UMNO sebagai komponen utama BN mempunyai rangkaian akar umbi yang luas, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar.
Keupayaan menggerakkan jentera pilihan raya, mengenal pasti isu setempat dan mengekalkan hubungan dengan pengundi menjadi faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Kemenangan ini memperlihatkan bahawa sebahagian besar pengundi masih mengutamakan faktor kestabilan politik.
Selepas beberapa tahun negara mengalami pertukaran kerajaan dan ketidaktentuan politik, ramai pengundi dilihat lebih cenderung memilih parti yang dianggap mampu menawarkan kerajaan yang stabil dan berpengalaman.
Persepsi bahawa BN mempunyai pengalaman mentadbir menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan sebahagian pengundi.
Keputusan di Johor menunjukkan kelemahan pihak lawan dalam membentuk satu saingan yang benar-benar mantap. Perpecahan sokongan antara beberapa blok politik menyebabkan undi pembangkang tidak tertumpu kepada satu gabungan sahaja.
Keadaan ini memberi kelebihan kepada BN untuk memenangi banyak kerusi dengan majoriti yang selesa.
Momentum tersebut diteruskan dalam PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos lalu.
Kepimpinan BN menyifatkan kemenangan itu sebagai kesinambungan “gelombang biru” yang bermula di Johor dan berharap ia menjadi pemangkin kepada kejayaan di negeri-negeri lain.
Kerjasama dengan PAS ternyata memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak apabila jentera akar umbi dan p[engundi kedua-dua parti saling memberi dukungan.
Strategi kerjasama BN, PN mendatangkan hasil memuaskan.
UMNO memenangi kesemua 18 kerusi yang ditandingi diikuti MCA dengan dua kerusi, manakala PN menerusi PAS meraih empat kerusi dan Wawasan pula memperoleh tiga kerusi.
PH hanya memenangi 11 kerusi daripada 36 kerusi DUN, sekali gus memberi kelebihan kepada BN-PN. Undi tidak pecah.
Dan apabila undi tidak pecah antara kedua-dua parti itu, maka, sudah tentu dari segi logiknya, ia memihak kepada kerusi yang ditandingi BN atau PAS.
Implikasi utama kemenangan di kedua-dua negeri ini ialah peningkatan keyakinan BN untuk menghadapi PRU akan datang.
Kemenangan berturut-turut lazimnya meningkatkan moral ahli parti, engukuhkan semangat jentera pilihan raya dan memudahkan usaha menarik sokongan penyokong baharu.
Adakah ini juga bermaksud ia memberi kelebihan kepada BN dalam Kwerajaan Perpaduan?
Adakah ini juga memberi tekanan kepada Anwar untuk mengawalkan PRU di sebalik janji BN untuk terus menyokong kepimpinan beliau sehingga ke akhir penggal?
Dalam politik, momentum kemenangan sering menjadi aset penting kerana ia mewujudkan persepsi bahawa sesebuah parti sedang berada dalam kedudukan yang semakin kukuh.
Kemenangan ini juga memberi isyarat bahawa BN masih mempunyai peluang besar untuk menambah kerusi Parlimen, khususnya di negerinegeri yang mempunyai komposisi pengundi hampir sama seperti Johor dan Negeri Sembilan.
Sekiranya corak pengundian ini berterusan, BN berpotensi meningkatkan pengaruhnya dalam Dewan Rakyat. Bagi parti-parti lawan pula, keputusan ini menjadi amaran bahawa strategi sedia ada mungkin perlu dinilai semula.
Mereka perlu mengenal pasti punca kemerosotan sokongan, memperkukuh kerjasama sesama parti serta menampilkan calon yang lebih diyakini rakyat.
Tanpa perubahan yang ketara, terutama dari segi reformasi dan janji yang ditaburkan sebelum PRU lalu, PKR, DAP dan Amanah berisiko mengalami keputusan yang sama dalam PRU akan datang.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian sebelum membuat kesimpulan bahawa kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan akan diterjemahkan secara langsung dalam PRU.
Isu yang menjadi pertimbangan pengundi dalam PRN tidak semestinya sama dengan PRU.
Dalam PRU, pengundi biasanya memberi perhatian kepada dasar ekonomi negara, kos sara hidup, peluang pekerjaan, cukai, pendidikan, keselamatan dan prestasi kerajaan Persekutuan.
Kadar keluar mengundi juga memainkan peranan penting.
Sekiranya peratusan keluar mengundi berubah dengan ketara pada PRU, keputusan akhirnya juga boleh berubah.
Golongan muda dan pengundi kali pertama, misalnya, mempunyai potensi untuk mempengaruhi keputusan di banyak kawasan marginal.
Pembentukan kerjasama politik menjelang PRU akan turut menentukan keputusan.
Sekiranya parti-parti pembangkang berjaya membentuk kerjasama yang lebih tersusun dan mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru, mereka berpotensi memberikan saingan yang lebih sengit kepada BN.
Selain itu, prestasi kerajaan dalam tempoh sebelum PRU akan terus menjadi faktor utama.
DAP tentu akan mendesak Anwar untuk memanfaatkan masa berbaki untuk melakukan transformasi seperti yang dijanjikan.
Masa tidak memihak kepada PH.
Sekiranya kerajaan berjaya mengawal inflasi, meningkatkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan menangani isu kos sara hidup, sentimen positif terhadap parti pemerintah boleh diperkukuh.
Sebaliknya, jika timbul isu-isu yang menjejaskan keyakinan rakyat, corak sokongan boleh berubah dalam tempoh yang singkat.
Keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan juga mempunyai kesan psikologi terhadap pengundi.
Dalam sains politik, fenomena bandwagon effect sering berlaku apabila sebahagian pengundi cenderung menyokong parti yang dilihat sedang menang.
Persepsi bahawa BN sedang memperoleh momentum boleh mempengaruhi sebahagian pengundi atas pagar untuk memberikan sokongan kepada parti tersebut dalam PRU nanti.
Lagipun, kini pengundi dan rakyat sudah tahu kekuatan, kelebihan dan kelemahan semua parti politik di Malaysia, termasuk BN dan PH.
Ya, tidak ada gading yang tidak retak, dan ada parti politik yang serba sempurna walaupun ketika berada di pihak pembangkang.
PH misalnya melihat seolah-olah BN serba tidak sempurna.
PH memberi gambaran seolah-olah ia dapat menyelesaikan semua masalah negara jika ia berkuasa?
Rakyat tentu dapat mengukur secara objektif siapa yang lebih baik pada PRU nanti.
Namun begitu, kesan ini bukanlah sesuatu yang pasti kerana pengundi Malaysia semakin bersifat kritikal dan membuat keputusan berdasarkan pelbagai faktor.
Kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan membawa mesej bahawa parti itu masih mempunyai kekuatan organisasi, jentera akar umbi yang mantap dan keupayaan menarik sokongan pengundi.
Kejayaan ini memberikan kelebihan psikologi serta meningkatkan keyakinan BN menjelang PRU akan datang.
Namun demikian, keputusan pilihan raya umum tetap bergantung kepada pelbagai faktor seperti prestasi ekonomi negara, isu semasa, tahap keluar mengundi, strategi kerjasama politik dan keupayaan setiap parti meyakinkan rakyat.
Justeru, walaupun kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan merupakan petunjuk yang positif kepada BN, ia belum boleh dianggap sebagai jaminan kemenangan mutlak dalam PRU akan datang.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah pengamat politik berpengalaman dan banyak melakukan penyelidikan dan penulisan tentang politik negara.



