ARTIKEL

Phoebe Chloe

Phoebe Chloe lancar lagu baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENYANYI muda Sarawak, Phoebe Chloe Lawai, yang lebih dikenali dengan nama pentas Phoebe Chloe, melancarkan single terbaharu berjudul Manah Agi Beserara (Lebih Baik Berpisah) pada 22 November lalu di YouTube.

Lagu ini merupakan karya artis terkenal tempatan Sarawak, Allesandro Deroma, yang juga berperanan sebagai komposer, penerbit, dan juruvideo, manakala pengaturan muzik dikendalikan oleh Hairee Francis.

Phoebe, 20, berasal dari Miri, berketurunan Kenyah dan Iban, kini merupakan penyanyi tempatan sambil melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia.

Anak bongsu daripada lima beradik ini terkenal dengan minat mendalam dalam nyanyian sejak sekolah rendah.

Menurutnya, lagu Manah Agi Beserara menceritakan tentang hubungan yang tidak harmoni, apabila lelaki mudah cemburu buta, kerap memaki dan berlaku kasar, manakala perempuan sentiasa mengalah dan cuba  memujuk.

Akhirnya, penat dengan semuanya itu, perempuan tersebut mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan demi kebahagiaan diri.

Menurut Phoebe, mesej utama lagu ini adalah, “Jangan meneruskan hubungan jika tiada persefahaman.”

Beliau menegaskan bahawa cinta sepatutnya membawa kebahagiaan, bukannya derita dan lebih baik berpisah daripada terus menyakiti antara satu sama lain.

Phoebe berkongsi bahawa pengalaman menyanyikan lagu ini sangat mengharukan.

“Perasaan saya semasa menyanyi terlalu menghayati sehingga hampir menangis, membayangkan diri berada dalam situasi lagu tersebut,” katanya.

Lagu ini turut menarik kerana ia dihasilkan oleh tenaga kreatif tempatan Sarawak.

Phoebe memuji Allesandro Deroma, yang dianggapnya seperti abang sendiri, dan Hairee Francis, yang terkenal dengan pengaturan muzik berkualiti tinggi. Dalam perjalanan seni beliau, Phoebe mula dikenali selepas menyertai uji bakat Bintang RTM pada 2021.

Walaupun ketika itu usianya belum mencukupi, bakatnya diperhatikan oleh komposer terkenal Sarawak, Embat Lala, yang menawarkan untuk menghasilkan lagu bagi beliau.

Sejak itu, nama Phoebe melonjak dalam industri muzik Iban Sarawak, terutamanya selepas lagu Nuan Limpang Muai Penepan mendapat tempat kedua dalam pertandingan nyanyian.

Sehingga kini, beliau menghasilkan 17 lagu, antaranya termasuk Pegi Lalu Enda Pulai, Nama Salah Aku dan Manah Agi Beserara.

Phoebe berkongsi pengalaman manisnya sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan Dayak, termasuk persembahan di pentas besar SUKMA Sarawak 2024 dan berkongsi pentas dengan artisartis lain.

Beliau menegaskan pengalaman pahit hampir tidak wujud kerana setiap pengalaman adalah pembelajaran dan kenangan manis.

Bercerita tentang cabaran, jelas Phoebe, kadangkala beliau menghadapi masalah teknikal seperti kereta rosak ketika menuju ke persembahan.

Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dalam industri muzik tempatan. Menurut Phoebe, industri muzik Dayak kini semakin maju dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Lagu-lagu etnik Iban kini diminati bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung Malaysia dan luar negara. Beliau menekankan kepentingan artis bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain tanpa rasa iri hati.

“Saya sangat menghargai sokongan semua peminat dari awal hingga kini.

“Saya sayang peminat dan berharap mereka terus menyokong saya dalam perjalanan seni ini,” katanya.

Lagu Manah Agi Beserara ini berentak balada, sesuai untuk penghayatan mendalam bagi pendengar yang menghargai lagu-lagu beremosi.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU