KOTA KINABALU: Golongan belia Islam diseru untuk tampil sebagai pemimpin berinovasi dalam menangani cabaran global termasuk perubahan iklim, konflik sosial serta ketidaktentuan ekonomi.
Presiden Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peranan belia amat penting dalam membina masa depan umat Islam seiring perkembangan dunia.
“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab umat Islam, bersama penganut agama lain untuk bekerjasama di atas satu platform bersama bagi menggabungkan idea yang selaras dengan perubahan zaman demi membina dunia yang memberi manfaat kepada seluruh insan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Turut hadir sama keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta Setiausaha Agung Kehormat RISEAP Dato Dr. Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
Beliau turut memaklumkan bahawa RISEAP akan menerbitkan jurnal berasaskan prinsip serta doktrin Islam sebagai wadah untuk perkongsian idea demi kebaikan sejagat.
Premier Sarawak itu berkata, Piagam Madinah yang digariskan Rasulullah SAW menjadi asas kepada pentadbiran berfokuskan manusia dan adil sekali gus wajar dijadikan panduan kepada generasi pemimpin muda hari ini.
“Masa depan akan ditentukan oleh pemimpin muda yang berinovasi pada hari ini.
Sejarah telah membuktikan kemajuan intelektual Islam dalam bidang sains.
Tradisi ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan generasi umat Islam masa kini.
“Tamadun Islam pernah mencapai kegemilangan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Maka, dalam era kecerdasan buatan (AI) ini, marilah kita membina semula kehebatan itu berlandaskan keupayaan intelektual umat Islam,” jelas beliau.
Program berkenaan menghimpunkan belia Islam serantau bagi memperkukuh kepimpinan, menjalin kerjasama serta memperkasa peranan mereka dalam menghadapi landskap dunia yang kian mencabar.
Seramai 22 peserta dijemput daripada 13 negara-negara anggota RISEAP menyertai Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa 2025 yang berlangsung hari ini hingga 23 Ogos depan di Hotel Klagan, Kota Kinabalu. – TVS






