KUCHING: Prestasi memberangsangkan pasukan dari Asia dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 terus mencuri perhatian peminat bola sepak apabila beberapa pasukan benua itu berjaya memberi saingan sengit kepada gergasi Eropah.
Bagi Jeffery Lau, 45, pasukan yang disokongnya, Korea Selatan menampilkan aksi yang menepati jangkaan dengan persembahan konsisten sepanjang perlawanan.
“Kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech baru-baru ini membuktikan keupayaan pasukan ini untuk bangkit daripada ketinggalan sebelum mengawal rentak permainan dan memastikan kemenangan.
“Prestasi pasukan Asia setakat ini amat membanggakan dan menunjukkan jurang kualiti dengan pasukan Eropah semakin mengecil,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.


Dalam pada itu, beliau turut memuji disiplin taktikal pasukan Asia yang mengamalkan serangan balas pantas serta corak permainan tersusun.
“Corak permainan tersusun ini dipamerkan ketika Jepun mengikat Belanda 2-2 menerusi jaringan lewat permainan pada perlawanan Kumpulan F pada Isnin lalu,”ujarnya.
Sementara itu, Irwin Cartland, 45, yang menyokong Argentina, optimis skuad Amerika Selatan itu mampu melangkah jauh selepas memulakan kempen dengan kemenangan dalam perlawanan pembukaan kumpulan.
“Lionel Messi menjadi watak utama apabila meledakkan hatrik dan dijangka terus memainkan peranan penting dalam usaha Argentina muncul sebagai juara kumpulan.
“Argentina dijangka mampu memenangi semua perlawanan kumpulan, namun mungkin menerima cabaran daripada Austria,” kongsinya.
Menyentuh prestasi pasukan Asia, beliau mengakui Iraq dan Jordan mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan, namun percaya kedua-dua pasukan itu masih berupaya untuk bangkit.


“Pasukan seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia menunjukkan kemampuan bersaing dengan pasukan besar dunia,” ujarnya.
Bagi Nur Muhammad Wafiq Norisin, 26, Perancis kekal antara calon utama untuk menjulang trofi berdasarkan barisan pemain bertaraf dunia yang dimiliki.
“Kemenangan 3-1 ke atas Senegal yang juga juara Afrika sebelum ini menjadi petunjuk jelas kekuatan skuad Les Bleus.
“Perancis mempunyai pemain berkualiti dalam setiap posisi dan kemenangan ke atas Senegal menunjukkan mereka berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan,” katanya.
Mengulas prestasi Asia, beliau menyifatkan pencapaian Jepun dan Korea Selatan sebagai luar biasa.
“Jepun berjaya mengikat Belanda 2-2, manakala Korea Selatan menewaskan Republik Czech 2-1.
“Faktor utama kejayaan mereka adalah disiplin tinggi di dalam dan luar padang. Saya percaya Jepun berpotensi mara sehingga separuh akhir sekiranya mampu mengekalkan momentum semasa,”jelasnya.
Dalam pada itu, Dennis Hii Jiun Xiang, 24, turut memilih Argentina sebagai pasukan pilihan dan menyifatkan hatrik Messi sebagai bukti pemain legenda itu masih berada pada tahap tertinggi.
Menurut beliau, prestasi pasukan Asia dalam kejohanan kali ini juga sangat membanggakan kerana kebanyakan pasukan masih mampu bersaing dengan lawan yang lebih berpengalaman.
“Saya berharap Harimau Malaya dapat mencontohi semangat, disiplin dan mentaliti juang yang ditunjukkan pasukan Asia lain supaya Malaysia turut mampu bersaing di pentas dunia pada masa hadapan,”katanya.
Untuk makluman, Piala Dunia FIFA 2026 merupakan edisi ke-23 kejohanan bola sepak antarabangsa yang dianjurkan setiap empat tahun sekali.
Edisi kali ini mencipta sejarah apabila menampilkan 48 pasukan buat pertama kalinya, berbanding 32 pasukan sebelum ini.


