ARTIKEL

FB FIFA World Cup

Piala Dunia kembali lagi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Debaran yang dinantinantikan oleh jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia akhirnya hampir tiba apabila tirai Piala Dunia FIFA 2026 bakal dibuka dalam beberapa hari lagi.

Bagi generasi yang membesar dengan kejohanan ini, Piala Dunia bukan sekadar pertandingan bola sepak, tetapi sebuah perayaan global yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Edisi kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya kejohanan berprestij itu dianjurkan bersama oleh tiga negara, iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Selain itu, jumlah pasukan yang bertanding turut meningkat daripada 32 kepada 48 pasukan, sekali gus menjadikan edisi kali ini sebagai Piala Dunia terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Penambahan jumlah pasukan itu membuka lebih banyak peluang kepada negara yang sebelum ini sukar menembusi pentas bola sepak dunia. Negara seperti Uzbekistan dan Jordan mencipta sejarah apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama.

Kehadiran pasukan-pasukan baharu ini dijangka membawa warna tersendiri, selain berpotensi mencetuskan kejutan yang sering menjadi ramuan utama dalam kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.

Pada masa sama, kuasa besar bola sepak dunia seperti Argentina, Brazil, Jerman, Sepanyol, Perancis, England, Portugal dan Belanda turut mengesahkan tempat masingmasing ke Piala Dunia 2026. Argentina hadir selaku juara bertahan selepas kejayaan Lionel Messi dan rakan sepasukannya menjulang trofi di Qatar pada 2022.

Namun begitu, tumpuan kali ini juga terarah kepada kemunculan generasi baharu yang dijangka mengambil alih pentas bola sepak dunia daripada legenda-legenda yang semakin menghampiri penghujung karier mereka seperti Cristiano Ronaldo, Neymar Jr dan Luka Modric.

Sebagai peminat tegar Sepanyol, sudah tentu saya menaruh harapan tinggi agar skuad La Roja mampu mengulangi sejarah gemilang yang dilakar pada 2010 di Afrika Selatan.

Ketika itu, Sepanyol yang dibarisi pemain seperti Iker Casillas, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, David Villa dan Fernando Torres berjaya menawan dunia menerusi corak permainan tikitaka yang memukau.

Siapa yang dapat melupakan jaringan dramatik Andres Iniesta pada masa tambahan dalam perlawanan akhir menentang Belanda pada Piala Dunia 2010 yang menghadiahkan kejuaraan dunia pertama kepada Sepanyol?

Menariknya, skuad Sepanyol kali ini memiliki potensi besar walaupun dibarisi ramai pemain muda berbakat.

Nama seperti Lamine Yamal, Rodri, Gavi, Pedri, Nico Williams dan Pau Cubarsi menjadi simbol kebangkitan generasi baharu bola sepak Sepanyol.

Mereka bukan sahaja memiliki bakat besar, malah sudah mengumpul pengalaman beraksi di pentas tertinggi Eropah meskipun usia masih muda. Misalnya, Lamine Yamal terus mencuri perhatian dunia menerusi kematangan permainannya yang melangkaui usia.

Gavi pula terus menjadi nadi penting di bahagian tengah pasukan. Gabungan pemain muda dengan beberapa tonggak berpengalaman memberikan keyakinan bahawa Sepanyol mampu melangkah jauh dalam kejohanan kali ini. Namun begitu, laluan untuk merangkul trofi kejuaraan bukanlah mudah.

Perancis masih memiliki skuad yang mantap dengan kehadiran pemain seperti Kylian Mbappé, Ousmane Dembélé, Michael Olise dan Désiré Doué. England pula terus dibarisi generasi emas yang semakin matang.

Portugal pula sedang melalui era peralihan yang menarik, manakala Brazil sentiasa menjadi antara pencabar utama meskipun prestasi mereka agak tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apabila berbicara tentang Piala Dunia, kenangan paling manis yang sering meniti dalam ingatan saya sudah tentu edisi 2010. Ketika itu, Piala Dunia benar-benar menjadi acara yang wajib ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

Berbeza dengan hari ini yang menawarkan pelbagai pilihan hiburan digital, Piala Dunia ketika itu seolah-olah menjadi tumpuan utama masyarakat. Saya masih mengingati suasana meriah di Taman Sourabaya Indah apabila penduduk setempat menganjurkan tayangan skrin besar bagi hampir semua perlawanan.

Walaupun ada aksi yang bermula seawal jam 2.00 pagi, kawasan tersebut tetap dipenuhi penduduk yang datang beramai-ramai untuk menyaksikannya bersama-sama.

Kanak-kanak, remaja, golongan dewasa, malah warga emas berkumpul tanpa mengira pasukan sokongan masingmasing. Ada yang membawa kerusi sendiri, ada yang duduk di atas tikar.

Sorakan bergema setiap kali gol dijaringkan, manakala keluhan kecewa kedengaran apabila peluang keemasan disia-siakan. Suasana seperti itu mungkin semakin sukar ditemui pada masa kini apabila ramai memilih untuk menonton secara bersendirian melalui telefon pintar atau platform penstriman.

Namun, kenangan menyaksikan perlawanan secara beramairamai tetap mempunyai nilai sentimental yang sukar dicari ganti.

Itulah keindahan sebenar Piala Dunia yang menjadikannya begitu istimewa dalam kalangan peminat bola sepak. Ia bukan sekadar soal siapa yang menang atau kalah, tetapi bagaimana kejohanan itu mampu menyatukan masyarakat dan mencipta kenangan yang kekal dalam ingatan sepanjang hayat.

Kini, dengan Piala Dunia 2026 bakal membuka tirainya, debaran yang sama kembali dirasai. Generasi baharu pemain bersedia mencipta sejarah, manakala para penyokong pula tidak sabar menantikan detik-detik magis yang hanya mampu dihadirkan oleh kejohanan bola sepak terbesar di dunia ini.

Bagi saya, harapan tetap sama seperti 16 tahun lalu, iaitu melihat Sepanyol sekali lagi menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia.

Sama ada impian itu menjadi kenyataan atau sebaliknya, satu perkara yang pasti ialah Piala Dunia sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk menghadiahkan pelbagai kisah luar biasa yang terus terpahat dalam ingatan peminat di seluruh dunia.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

BERITA TERBARU