KUCHING: Pemangku ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin melihat cabaran cukup hebat menanti pasukannya dalam kempen Piala Malaysia 2023.
Ia mengambil kira sesi undian yang berlangsung semalam menyaksikan Kuching City akan menentang jiran tetangga iaitu Sabah FC.
“Cabaran yang cukup hebat menanti pemain kerana kita akan menantang Sabah FC kelak.
“Walaupun diketahui Sabah FC sebuah pasukan yang mantap di segenap posisi, namun kita akan cuba memberi tentangan pada aksi sebenar kelak,” ujar Sulaiman kepada Arena Suara Sarawak.
Sulaiman percaya Kuching City mampu mencipta kejutan kerana prestasi dipamer barisan pemain pada perlawanan sebelum ini jelas menampakkan peningkatan.
“Apa yang penting sekarang, saya harus memanfaat masa yang ada untuk memperkemaskan pasukan,” tambah Sulaiman lagi.



