KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak nyata gembira dengan kejayaan pemainnya beroleh kemenangan tipis (1-0) ke atas Penang FC pada aksi pertama kempen Piala Malaysia 2024 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semalam.
Namun, tidak melihat kelebihan satu gol dimiliki itu sebagai bekalan selesa untuk menghadapi aksi timbal yang akan berlangsung di Kuching pada 30 November ini.
Menurut Aidil, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak kerana percaya pasukan lawan (Penang FC) akan cuba bangkit pada pertemuan kedua hujung bulan ini.
“Kredit kepada pemain kerana telah berjaya meraih kemenangan. Bukan satu perlawanan yang mudah kerana pemain diberi tekanan begitu hebat sekali.
“Walaupun beraksi dalam keadaan padang yang becak tetapi pemain telah memberi aksi terbaik sepanjang perlawanan,” ujar Aidil pada sidang media selesai perlawanan.
Menurut jurulatih kelahiran Singapura itu, pasukannya perlu lebih bekerja keras selepas ini untuk mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki itu.
“Masih ada tempoh 90 untuk perhitungan kedua di Kuching nanti. Oleh yang demikian, kami harus fokus bukan sahaja mempertahankan kelebihan satu terbabit.
“Malah, cuba meneruskan momentum untuk cuba mencipta kemenangan di Kuching nanti,” tambah Aidil.
Gol tunggal City Boys pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Ramadhan Saifullah minit ke-44.



