KUCHING: Sebagai langkah memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini, Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) tampil dengan inisiatif tersendiri dengan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala PEKEMA 2026.
Setiausaha Agung PSS, Fudin Chee Kifli menjelaskan, bandar raya Miri dipilih sebagai tuan rumah kejohanan edisi ketiga yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 7 Jun depan.
Menurut Fudin, acara berprestij empat hari itu terhad kepada 32 pasukan dan menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan RM10,500.
Pasukan yang berjaya muncul juara akan membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara pula menerima wang tunai RM2,500, piala dan pingat. Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM1,500, piala beserta pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
“Kita mengalu-alukan pasukan, regu atau kelab untuk turut serta dalam kejohanan kali ini.
“Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi saya di talian 0198889978, Amat Teni (0108151567) dan Jaffary Idris (0138159844),” ujar Fudin pada sidang media di pejabat PEKEMA, Sarawak sebentar tadi.
Tambah Fudin, pihaknya juga akan menjemput regu atau kelab dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan negara jiran, Brunei Darussalam.
“Regu atau kelab yang terlibat dibenar mengimport pemain dari Semenanjung Malaysia yang bukan pemain kebangsaan,” tambah beliau sambil menyatakan yuran bagi setiap pasukan RM400 dan tarikh akhir pendaftaran pada 25 Mei depan.
Pada majlis tersebut berlangsung sesi penyerahan piala pusingan yang disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat PEKEMA Sarawak, Polycarp Joseph Garston.
Hadir sama Presiden PSS, Datuk Ismail Abang Saufi dan barisan exco kedua-dua pihak.


