KOTA SAMARAHAN: Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) 2026 bakal membuka tirainya esok (Sabtu).
Kejohanan ini menyaksikan misi pemburuan gelaran juara bagi empat pasukan handalan yang bersaing dalam kempen Liga Samarahan 2026.
Presiden PBBS Mohd. Azri Johari memberitahu bahawa perlawanan yang bermula pada sebelah pagi esok akan membabitkan empat pasukan berkenaan.
“Perlawanan pertama LPFC akan menentang Sambir Bistari (8:00 pagi) dan GEN 16 akan menentang Gedong Unity,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menambah, dua pasukan yang berjaya meraih kemenangan akan layak ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3.00 petang.
Semua perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Terbuka Kota Samarahan.
Saingan Piala Presiden PBBS 2026 merupakan antara aktiviti sepanjang tahun badan induk berkenaan.
Sementara itu, majlis penyampaian hadiah Liga Samarahan 2026 turut akan diadakan sejurus selepas selesainya perlawanan akhir pada petang esok.
Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang yang juga Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan.


