KUCHING: Bekas penyerang kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman, 33, akan memperkuatkan jentera serangan pasukan Padi FC dalam kesiapsiagaan kelab terbabit menghadapi Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah, Piala Saberkas 2025 yang akan bermula Sabtu ini (6 Disember).
Presiden Padi FC, Aslan Asmara berkata, bintang kelahiran Bongawan, Sabah itu antara nama besar yang disenarai pihaknya sepanjang mengharungi kejohanan berprestij anjuran Saberkas Zon Tengah itu.
“Dia (Rozaimi Abdul Rahman) antara nama besar yang akan memperkuatkan jentera serangan pasukan kita pada kejohanan kali ini.
“Pihak kita sememangnya mengharapkan kehadiran Rozaimi dalam pasukan mampu mencetus igauan terhadap pasukan lain yang turut serta,” ujar Aslan kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Aslan, pihak pengurusan kelab komited untuk memberi fokus kepada kejohanan ini.
Justeru tambah beliau, sebab itu mereka menyenarai beberapa pemain berpengalaman dan berbakat pada kali ini.
“Misi kita untuk kejohanan kali ini mahu muncul juara. Diharap percaturan dengan mengetengahkan beberapa pemain bintang dan pemain muda akan dapat menyaksikan misi tersebut dapat direalisasi sepenuhnya nanti,” jelas Aslan.
Beliau berkata, seorang lagi bintang kelahiran Sabah yang diserap dalam kem Padi FC ialah Mohammad Saifuddin Abdullah, yang merupakan bekas ketua pasukan bawah 23 tahun Sabah.
Kejohanan terbabit dijangka berakhir pada 14 Disember dengan format liga kumpulan untuk peringkat awal.
Aksi peringkat kumpulan berlangsung di padang bola sepak Jalan Lada, Sibu.
Manakala, saingan kalah mati membabitkan peringkat suku, separuh akhir dan final akan berlangsung di Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya.
Hadiah wang tunai lumayan menanti kelompok tiga terbaik. Juara akan menerima wang tunai RM3,000, piala dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM2,000 dan piala. Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM500 dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.


