ARTIKEL

PIBG rakan kongsi sekolah untuk pembangunan murid

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan rakan kongsi penting dalam memastikan kejayaan pendidikan, terutamanya dalam menyokong pihak sekolah dan pembangunan murid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, peranan aktif PIBG membuktikan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya digalas oleh pihak sekolah semata-mata.

Beliau memuji PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Arang atas penganjuran Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta sokongan berterusan terhadap pelajar dan warga pendidik.

“Dengan meraikan kejayaan pelajar dan menghargai jasa guru, anda menunjukkan hasil kerjasama erat antara sekolah dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri sambutan tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, hari ini.

Menurutnya, para guru menjalankan tugas bukan sahaja secara profesional, tetapi juga dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan terhadap perkembangan serta kebajikan murid-murid.

“Guru merupakan pembimbing, pemangkin semangat dan teladan kepada generasi masa depan.

“Dedikasi anda menyumbang kepada pembinaan sebuah Sarawak yang lebih baik. Penghargaan kami bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk setiap hari,” jelasnya.

Beliau turut menggesa agar kerjasama antara keluarga, sekolah dan pemimpin diteruskan bagi memastikan anak-anak menerima sokongan menyeluruh untuk mencapai potensi mereka.

Lo menekankan bahawa nilai seperti integriti, rendah hati, ketahanan dan kebaikan hati wajar menjadi asas dalam perkembangan sahsiah dan akademik pelajar.

“Pendidikan bukan sekadar keputusan peperiksaan. Ia tentang membentuk insan yang akan menyumbang secara bermakna kepada komuniti dan masa depan Sarawak,” tambahnya.

Kepada para pelajar, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada mereka yang cemerlang, menyifatkan keputusan SPM mereka sebagai cerminan disiplin, usaha gigih dan ketabahan menghadapi cabaran.

Lo turut mengingatkan bahawa kejayaan akademik hanyalah satu langkah permulaan dan mereka perlu bersedia menempuh perjalanan seterusnya ke arah pencapaian matlamat hidup dan peranan mereka dalam masyarakat.

“Anggaplah ini sebagai satu penanda aras, bukan destinasi akhir. Perjalanan anda baru bermula. Teruskan belajar, bermimpi dan berusaha membawa perubahan,” katanya.

Beliau juga menggesa pelajar agar sentiasa mengenang jasa mereka yang membantu sepanjang perjalanan, terutama ibu bapa dan guru yang tidak pernah berputus asa menyokong mereka.

“Mereka turut berbangga seperti anda hari ini. Kejayaan terasa lebih manis apabila dikongsi bersama insan yang sentiasa berada di sisi ketika saat sukar,” ujarnya.

Lo (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan SPM kepada salah seorang penerima

BERITA LAIN

Furry Friends Fair pupuk kesedaran kebajikan haiwan

KUCHING: Penganjuran Furry Friends Fair 2026 menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebajikan haiwan, selain memupuk amalan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab. Anak Premier Sarawak,

BERITA TERBARU

Empat pasukan plihan mara ke separuh akhir

PIALA PREMIER SARAWAK 2026 BINTULU: Empat pasukan, Bintulu, Samarahan, Kuching dan Serian mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Premier Sarawak 2026 selepas menamatkan saingan suku