KLANG: Pihak berkuasa dari Klang dan Kuala Selangor memulakan proses membersihkan tapak pembuangan sampah haram di Batu 14, Kapar di sini, yang terletak di sempadan dua daerah berkenaan, dan mengambil langkah untuk mengelakkan kejadian itu daripada berulang.
Tapak pembuangan sampah haram itu yang terletak beberapa meter dari Lay Hong Feedmill dan sebuah depoh untuk menyimpan dan servis kenderaan berat, bersaiz besar yang dianggarkan meliputi kawasan kira-kira lima hingga lapan padang bola sepak dan setinggi hampir 10 meter. Tapak haram itu telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun.
Bernama baru-baru ini memaparkan laporan eksklusif bersiri dua bahagian tentang aduan penduduk berdekatan yang tidak tahan dengan asap yang keluar dari tapak pelupusan sampah itu, serta mereka juga bimbang terhadap pencemaran tanah dan air. Penduduk berkata tidak banyak tindakan diambil sebelum ini walaupun banyak aduan dilaporkan.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi kenyataan mengesahkan terdapat pembakaran sisa plastik di tapak itu. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, beberapa bahan kimia dikeluarkan daripada pembakaran sisa plastik adalah toksik dan boleh menyebabkan kanser, seperti dioxin.
“Tindakan serta-merta yang dilaksanakan … memadam kebakaran timbunan sampah yang dipercayai sisa plastik kitar semula dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba,” menurut kenyataan itu.
Langkah segera lain yang dilakukan MPK termasuk mengorek, menggali parit dan menutup laluan masuk dengan menggunakan konkrit barrier serta mengarahkan operator kilang di laluan utama untuk melaporkan sebarang pergerakan kenderaan yang mencurigakan.
MPK mengakui pihaknya menyedari kewujudan tapak pelupusan itu dan telah melakukan beberapa rondaan untuk menyekat mereka yang membuang sampah secara haram. Pada 2021 sebanyak enam lori telah disita dan dikenakan kompaun, manakala pada 2022 tiada sebarang pembuangan haram dikesan.
Bagi mengelakkan masalah bertambah buruk, MPK memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau jenis-jenis bahan kimia atau toksik yang boleh terhasil dan mengambil tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
MPK turut meningkatkan pengawasan di kawasan itu dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melayangkan dron dan kamera untuk memantau kawasan berkenaan. Sebahagian lambakan sampah berada berdekatan tiang transmisi yang terdedah kepada bahaya dan kebakaran.
“Aktiviti-aktiviti pencerobohan seperti pembuangan sampah adalah tidak dibenarkan kerana boleh menyebabkan risiko kemalangan jiwa, kerosakan pepasangan TNB dan gangguan bekalan sistem Grid Nasional,” menurut TNB dalam kenyataan.
Tapak pembuangan sampah haram itu terletak di atas tanah milik persendirian, justeru MPK memberi amaran kepada pemilik tanah supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa serta menunaikan tanggungjawab menjaga hartanah mereka.
“(MPK akan) mengenal pasti aktiviti dan pemilikan tanah yang turut boleh menyumbang kepada pelbagai bentuk pencemaran dan bekerjasama dengan pihak pejabat tanah dan daerah untuk tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian di bawah Kanun Tanah Negara 1965,” menurut kenyataan itu.
Di bawah Kanun Tanah Negara, pemilik tanah bertanggungjawab mengekalkan kebersihan tanah mereka dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda dan tanah dirampas.
MPK mengeluarkan kenyataan itu selepas melawat tapak pembuangan sampah haram itu dan bertemu penduduk yang terjejas semalam. Antara yang hadir ialah penduduk Kampung Sungai Serdang dan Kampung Tok Jawa, Timbalan Yang Dipertua MPK Elya Marini Darmin, ahli majlis Datuk Azizi Ayob, dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk JAS, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Pejabat Tanah dan Daerah Klang dan Kuala Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Turut hadir Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa Dr Daroyah Alwi.- BERNAMA






