Pilih jurulatih berkelayakan

SEJAK menyertai Liga Malaysia pada 1979 sehingga 2019, pasukan Sarawak mempunyai 22 jurulatih daripada pelbagai latar belakang… daripada anak tempatan, Semenanjung Malaysia, hinggalah import asing luar negara.

Kita akui, kehadiran jurulatih ternama atau berstatus lima bintang bukanlah jaminan untuk menang, atau meraih trofi juara.

Tetapi sekurang-kurangnya kehadiran jurulatih yang bertauliah, mempunyai kelayakan, ilmu dan pengetahuan boleh membantu pasukan, terutama para pemain untuk jangka masa panjang.

Pada 2015, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pernah menambat jurulatih tersohor, Datuk K. Rajagopal yang juga bekas jurulatih pasukan Malaysia. Tetapi bekas pemain Malaysia itu gagal membuahkan hasil.

Oleh itu, sehingga kini belum ada jurulatih yang mampu menandingi pencapaian Alan Vest yang membimbing Sarawak pada 1991 hingga 1998. Vest bukan sahaja meletakkan Sarawak sebagai pasukan digeruni hampir sedekad, tetapi juga menghadiahkan tiga trofi juara, Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998.

Bagi bekas jurulatih Sarawak, Wahet Uji, kehadiran jurulatih ternama bukan jaminan untuk memberikan kejuaraan, namun kehadiran mereka tetap penting untuk membentuk pasukan.

“Kalau kita lihat pasukan dalam Liga Malaysia yang dilabel sebagai barisan bintang dengan jurulatih bagus dan pemain hebat… ada antara mereka yang berjaya dan ada juga yang gagal.

“Namun ia adalah salah satu usaha yang baik, kerana adanya impian untuk memenangi sesuatu, walaupun ia bukan jaminan untuk berjaya,” jelas Wahet kepada Suara Sarawak.

Menurut jurulatih skuad Sarawak 1990 dan 2005 itu, kehadiran jurulatih ternama sekurang-kurangnya boleh memberikan kesan positif terhadap pasukan dan pemain untuk jangka panjang.

“Hanya jurulatih yang berilmu dan berpengalaman boleh mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan atau pemain.

“Oleh itu, kita tidak boleh mengambil jurulatih sebarangan tanpa mengambil kira kelayakan, ilmu dan pengalaman yang mereka miliki. Ini kerana mereka boleh memberi kesan negatif kepada pemain kerana memberikan tunjuk ajar yang tidak betul,” tegas Wahet.

Sementara itu, bekas penyerang Sarawak yang juga bekas jurulatih pasukan Belia Sarawak, Safri Amit menjelaskan jurulatih dan pemain perlu berkaitan dan saling membantu.

“Kalau kita ada ramai pemain bagus, tetapi jurulatih kurang bagus… maka sukar untuk kita membentuk pasukan yang bagus.

“Namun jurulatih yang bagus biasanya boleh membantu pemain yang kurang bagus untuk menjadi lebih bagus,” kata Safri.

Safri yang mula menyertai skuad senior pada 1998 menjelaskan faktor kekuatan pasukan Sarawak ketika itu adalah kerana memiliki himpunan pemain tempatan berkaliber yang mempunyai persefahaman mantap.

“Pada 1999 (skuad final Piala Malaysia) misalnya, kita tidak memerlukan ramai pemain baharu… kerana masih mempunyai barisan pemain yang telah bergandingan sekitar lima tahun.

“Jadi, peralihan jurulatih antara Alan Vest dan Jalil Ramli ketika itu tidak begitu dirasai, kerana Sarawak masih kekal sebagai pasukan yang kuat. Lagi pula ketika itu, jurulatih (Jalil) mempunyai hubungan yang cukup baik dengan pemain,” ujarnya.

Safri juga merupakan anggota pasukan Sarawak 1999 yang turut layak ke Piala Kelab Asia, menentang jaguh Jepun, Kashima Antlers.

Sementara itu, Jalil Ramli yang cukup berpengalaman sebagai pemain dan jurulatih pasukan Sarawak berpandangan, sukar untuk memberi jaminan terhadap pasukan berstatus bintang untuk berjaya.

“Sehebat mana pun pasukan itu dengan bintang import hebat, kalau tidak kena pada tempatnya, tidak akan berjaya.

“Oleh itu, seseorang jurulatih memainkan peranan penting untuk mengenal pasti kesesuaian seseorang pemain.

“Dalam hal ini, Alan Vest (bekas jurulatih Sarawak) cukup arif. Dia bijak dan pandai memilih pemain import. Misalnya pada 1991 dia membawa masuk dua pemain bertubuh besar (John Hunter, 100 lebih kg) dan tinggi (David Evans, 6 kaki 7 inci). Turut diambil ialah Jeff Curran (bertubuh sederhana). Mereka bukanlah pemain ternama,” kata Jalil yang memilik Lesen A Kejurulatihan.

“Kami agak hairan, mengapa pemain seperti itu yang diambil… tetapi ternyata percaturan Vest menjadi apabila mereka memberikan sumbangan yang besar kepada pasukan, dan sesuai tugas masing-masing dan bertepatan corak permainan kami ketika itu… lebih kepada “set-piece”,” katanya.

Kehadiran Vest serta tiga import itu telah membantu Sarawak menguasai persada bola sepak Malaysia sebagai antara tiga pasukan terbaik liga utama sepanjang lapan musim.