ARTIKEL

Antara pelajar yang mendaftar tingkatan enam. Foto | Bernama

Pilih laluan selepas SPM

FARIHAN RAZALI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Sejak keputusan permohonan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi diumumkan, ramai calon mencari tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara pilihan untuk melanjutkan pengajian ialah dalam bidang akademik atau kemahiran.

Hal ini demikian kerana terdapat banyak institusi yang menawarkan sijil kemahiran di negeri kita seperti Sarawak Skills, CENTEXS dan sebagainya.

Selain itu, ada antara mereka yang memilih untuk terus bekerja kerana tidak berminat untuk belajar serta menghadapi kekangan kewangan yang memaksa mereka membatalkan hasrat untuk menyambung pengajian.

Agak menyedihkan apabila mendengar ada antara kenalan kita yang terpaksa mengorbankan cita-cita kerana tidak mampu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Secara peribadi, jika menghadapi masalah kewangan, saya berpendapat lebih baik mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ti tingkatan enam.

Hal ini demikian kerana kos pengajian STPM lebih rendah berbanding kos pengajian di institusi lain.

Bukan itu sahaja, tempoh pengajiannya juga lebih singkat berbanding di tempat lain, iaitu hanya tiga semester yang mengambil masa selama satu tahun enam bulan.

Sepanjang tempoh pengajian, pelajar akan didedahkan kepada kehidupan di universiti kerana tingkatan enam juga dikenali sebagai program prauniversiti.

Walaupun ada yang mengatakan bahawa STPM lebih sukar daripada peperiksaan lain, saya yakin dengan kesungguhan menuntut ilmu, segala cabaran dalam peperiksaan tersebut dapat diatasi oleh mereka yang benar-benar berusaha.

Bagi mereka yang tidak mencapai sasaran dalam STPM, hal itu tidak bermakna mereka gagal dalam kehidupan.

Saya mengambil contoh rakan sekelas saya sendiri. Apabila keputusan STPM tidak mencapai sasaran yang diharapkan, dia melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran dan kini memperoleh pekerjaan tetap dalam bidang yang diceburinya.

Sebelum saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di tingkatan enam, ramai yang mengatakan rugi mengambil STPM sekiranya berasal daripada aliran sains tulen tetapi perlu mempelajari bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Selain itu, ada juga yang mengatakan tingkatan enam hanyalah tempat persinggahan sementara menunggu keputusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi melalui Unit Pusat Universiti (UPU), di samping pelbagai tanggapan negatif lain yang sering diperkatakan.

Persepsi sebegitu terhadap tingkatan enam tidak seharusnya meracuni fikiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terutamanya mereka yang berniat untuk melanjutkan pengajian dan mengambil STPM.

Sehubungan dengan itu, masih banyak peluang dan tempat untuk menimba ilmu selepas SPM kerana peperiksaan tersebut merupakan titik perubahan yang penting dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang.

Jika tidak berminat dalam bidang akademik, bidang kemahiran juga sangat penting pada masa ini seperti yang dibuktikan melalui kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin memberangsangkan.

Justeru, kepada calon SPM 2025, anda berhak memilih laluan kejayaan sendiri dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa menghiraukan kata-kata orang sekeliling, terutamanya mereka yang memandang rendah terhadap sesebuah institusi pendidikan.

Hal ini demikian kerana kita yang menentukan hala tuju kehidupan selepas SPM yang akan mempengaruhi masa depan kita dalam jangka masa panjang.

Begitu juga bagi mereka yang memilih untuk bekerja selepas SPM. Selagi pekerjaan yang dilakukan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan tidak menyusahkan orang lain, teruskanlah usaha tersebut.

Oleh itu, sebelum memilih tempat untuk melanjutkan pengajian atau memulakan kerjaya, carilah maklumat yang secukupnya tentang tempat tersebut agar lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu pada masa hadapan.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU