PEMILIHAN kerjaya merupakan keputusan penting yang perlu dipertimbangkan dengan oleh setiap individu.
Dengan pelbagai pilihan yang ada dan landskap ekonomi sentiasa berubah, dapatkan kerjaya yang sesuai dengan minat, bakat dan matlamat peribadi bukan mudah.
Dalam buku ini, penulis menyelami proses pemilihan kerjaya, mengenal pasti faktor penting untuk dipertimbangkan dan memberikan panduan praktikal kepada pembaca.
Bagi permulaan bab, penulis menasihati pembaca agar membuat penyelidikan yang mendalam berkaitan dengan bidang kerjaya diminati.
Penyelidikkan tersebut berkaitan dengan kemahiran, minat, kesesuaian personaliti dan bakat masing-masing.
Setelah mengenal pasti bidang yang diminati, penulis mencadangkan langkah seterusnya iaitu membuat kajian berkaitan bidang bersesuaian dengan personaliti mahupun minat.
Segala maklumat berkaitan boleh dirujuk melalui banyak sumber seperti Internet, risalah, buku, surat khabar dan kaunselor kerjaya.
Melalui buku ini pembaca dapat mengetahui maklumat berkaitan dengan latar belakang, tugasan utama kerjaya, personaliti bersesuaian dengan kerjaya tersebut dan kelayakan akademik yang ditetapkan.
JENIS PEKERJAAN
Menariknya, terdapat sebanyak 155 senarai jenis pekerjaan yang digariskan oleh penulis dan kesemuanya mengandungi maklumat penting yang wajib diketahui oleh pembaca.
Maklumat sedemikian boleh dipertimbang kerana ia boleh membantu anda mengelakkan daripada situasi tersalah pilih kerjaya yang tidak bersesuaian dengan minat dan personaliti diri masing-masing.
Antara contoh kerjaya yang disenaraikan oleh penulis adalah akauntan, ahli geologi, pakar gigi dan pengarah.
Buku ini direkakan khas bagi graduan supaya dapat mengenal pasti bidang kerjaya yang bersesuaian dengan minat, personaliti dan kelayakan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, semua senarai kerjaya yang disenaraikan disusun rapi mengikut abjad dan penanda di sisi buku.
Panduan ini memudahkan pembaca mencari pekerjaan yang ingin diteroka menggunakan abjad penanda tersebut.
Menurut penulis yang juga graduan lulusan Universiti Bradford United Kingdom, Amir Hazyq, tidak terlalu awal untuk pembaca mengambil inisiatif menentukan hala tuju hidup masing-masing sebelum membuat pemilihan subjek penting yang diambil dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
LEBIH FOKUS
Beliau juga mengatakan dengan mengetahui apa yang diinginkan, pembaca boleh lebih fokus dalam pembelajaran.
Buku ini dapat menjadi panduan kepada graduan mengetahui peluang pekerjaan yang ada dan bersesuaian dengan kursus yang diambil.
Graduan juga berkesempatan untuk menukar kursus yang diambil jika didapati tidak bersesuai dengan kerjaya yang diminati.
Selain perspektif direktori pekerjaan, penulis juga ada menekankan hal berkaitan gaji permulaan bagi sesebuah kerjaya.
Menurut penulis yang bekerja dalam syarikat swasta sekali gus berada dalam bidang pengurusan sumber manusia ini, kebanyakan syarikat hanya memaklumkan gaji yang ditawarkan bertepatan dengan kelayakan, pengalaman graduan mahupun pemohon kerjaya tersebut.
Tambahnya, penyataan gaji juga dipaparkan di ruangan iklan sekiranya ia melibatkan jawatan tinggi.
Penilaian bagi menetapkan jumlah gaji bagi graduan merupakan proses yang sangat rumit bagi majikan.
Hal ini kerana, sebagai majikan terdapat kira-kira lapan perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menetapkan gaji pekerja.
Antaranya gaji terkini calon, gaji internal kompetitif, keuntungan syarikat, perjanjian pekerjaan dan sebagainya.
Penulis juga mengatakan bahawa gaji minimum yang ditawarkan bagi graduan sebanyak RM1,000 sahaja, kerana pihak majikan belum sepenuhnya mengetahui keupayaan sebenar calon tersebut.
Majikan lazimnya hanya membincangkan gaji setelah mereka pasti anda merupakan calon yang sesuai.
Selain itu, majikan juga membandingkan pengalaman, kelayakan dan kemahiran calon yang memohon pekerjaan dengan kakitangan sedia ada.
Panduan yang disediakan oleh Amin Hazyq dalam buku berjudul Kerjaya dan Anda ini boleh membuka jalan bagi pembaca terutama pelajar yang masih belum tahu arah tuju karier masing-masing.
“Tiada gunanya jika anda menghabiskan pengajian dalam bidang yang tidak anda minati, kemudian memaksa diri untuk bekerja dalam bidang yang sama,” katanya.
Mari kita terokai dunia pemilihan kerjaya bersamasama untuk mencapai kejayaan peribadi dan kepuasan dalam kehidupan profesional kita.
Sentiasa beringat bahawa kerjaya yang diceburi haruslah berupaya untuk memberi kepuasan, sama ada daripada segi emosi dan material bagi diri.



