PADA 13 September lalu, buat kesekian kalinya, Abang Johari bercakap tentang rejuvenasi atau peremajaan semula parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kali ini, beliau melontarkannya di hadapan 3,000 perwakilan dan pemerhati Konvensyen Khas PBB Zon Utara di Stadium Tertutup Miri. Sebenarnya, ini kali kedua beliau membayangkan kepentingan transisi parti dalam program PBB di bandar raya itu.
Sebelum ini, beliau mengumumkannya di Hotel Pullman. Cuma pada kali ini, beliau membayangkan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang merupakan pilihan raya terakhirnya yang telah menjangkau 76 tahun pada 4 Ogos lalu.
“Saya berterus terang, mungkin tok yang terakhir saya. You… you cannot go against nature walaupun hati muda… walaupun hati muda.
Tapi saya akan buat keputusan bila masanya sampai. Tapi perjuangan tetap kita teruskan untuk PBB,” jelasnya.
Katanya, seperti pemimpinpemimpin sebelumnya, beliau turut melatih penggantinya dengan beberapa ciri-ciri tertentu.
Dan, beliau yakin kelompok pemimpin yang dipilih kelak akan mampu mewarisi kepimpinan yang ada dan menerajui pembangunan Sarawak pada masa depan.
“Saya 76 tahun… bait nasib gik ada tenaga.
Empat tahun agik 80.
Kita terpaksa cari orang ganti.
Dan, kita mesti latih orang ganti. Orang ganti mun sik dilatih, susah juak.
“Nya mesti dilatih.
Kedak ne hubungannya dengan orang. Kedak ne hubungannya dengan masyarakat lain.
Gine hubungannya dengan agama lain.
Supaya jangan toksik!” katanya.
Ujar Abang Jo lagi, beliau bersyukur kepada pemimpin terdahulu kerana melatih beliau dan kini menjadi tanggungjawabnya untuk melatih pemimpin baharu dan muda.
Abang Johari sebenarnya berkata benar kerana selain beliau, beberapa pemimpin senior dan veteran dalam parti itu merupakan antara yang dilatih oleh pimpinan terdahulu PBB.
Mereka menyertai politik sejak lewat 1970-an dan awal 1980- an dan hanya menerajui tampuk setelah lebih 40 tahun mendaki satu persatu tangga, melepasi ujian dan mengharungi pelbagai cabaran.
Ini termasuk “bertarung” sesama sendiri dalam pemilihan parti.
Yang menariknya, selain insiden 1986-87, persaingan dalam parti itu berlaku secara matang, biarpun ramai yang percaya, Presiden parti “ada” memainkan peranannya ketika itu.
Malah Abang Johari sendiri pernah berhadapan dengan “penyisihan” selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden parti pada 1988.
Namun kematangan, semangat dan perjuangan mendahului segala-galanya, untuk beliau kekal setia kepada parti dan pemimpin.
Beliau tidak melatah biarpun kecewa.
Beliau tidak merajuk, biarpun “dilangkah” daripada hierarki parti untuk menjadi Ketua Menteri.
Menariknya, beliau percaya kepada qada dan qadar.
Dan, jika sudah rezeki itu milik beliau, ia tidak akan salah alamat.
Akhirnya berkat kesabaran, berkat inginkan Sarawak stabil dan maju, beliau yang tidak menongkah arus, akhirnya menjadi Ketua Menteri dan kemudiannya Premier Sarawak pada 2017.
Kerana itu Abang Johari percaya, konsep PBB dan kemudiannya GPS dalam melahirkan pemimpin cukup unik.
Tidak perlu bersaing secara tidak sihat seperti parti lain.
Beliau malah enggan masuk campur dalam urusan pemilihan, untuk melihat siapa yang terbaik, muncul dan mewarisi kepimpinan.
Harus diingat, sepanjang bertanding dalam parti PBB, Abang Johari tidak pernah kalah. Namun beliau juga tidak pernah sombong dan ego.
Kerana itulah jugalah beliau tidak mahu budaya politik Semenanjung masuk ke dalam parti itu.
Beliau menegah elemen “warlord” dan menegah elemen “politik wang”, yang telah menghancur parti-parti politik besar dunia seperti Bharatiya Janata Party (BJP) di Semenanjung.
Dan, untuk memastikan parti PBB dan GPS terus kukuh bertahan, beliau mahu pimpinan muda memasuki arena.
Pada pilihan raya negeri yang lalu, beliau memperkenalkan antara lain Royston Valentine di DUN Tellian, Azizul Pehin Sri Adenan di DUN Tanjong Datu dan Dayang Noorazah Awang Sohor di DUN Lingga.
Mereka antara 24 muka baharu yang ditampilkan GPS, daripada 82 kerusi yang ditandingi. Dalam Pilihan Raya Umum pula, PBB memperkenalkan Rodiyah Sapiee di Parlimen Batang Sadong, Mohamad Shafizan Kepli di Parlimen Batang Lupar, Dr Richard Rapu di Parlimen Betong.
Mereka menyertai tujuh muka baharu GPS yang menang dalam pilihan raya tersebut. Kerana itulah dalam pilihan raya kali ini, penulis optimis sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus penyandang akan ditukarkan, termasuk mereka yang gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Tidak bermakna mereka yang diminta untuk berhenti itu tidak bagus atau tidak berpengalaman, mahupun terlebih makan “garam”.
Sebaliknya pemimpin parti perlu berjiwa besar, melihat dari sudut yang lebih luas, besar dan jangka panjang.
Mungkin ada tanggungjawab lain akan diberikan selepas ini, seperti yang dilakukan oleh Abang Johari kepada mana-mana ADUN dan ahli parlimen yang digugurkan sebelum ini.
Kerana itu, memang tepat apabila Abang Johari menasihati mana-mana penyandang yang akan digugurkan kelak, agar menerimanya dengan hati terbuka.
“Sebab ya kalau ada pertukaran, jangan kecik hati. Kadang-kadang kita tok kecik hati you… tukar.
Apa aku sik dipilih agik?
Ya Abang Jo ya.
Terimalah pertukaran ini kelak sebagai lumrah alam, dengan pemimpin tua diganti yang muda,” katanya.
Untuk rekod, lebih 20 peratus daripada ADUN di Sarawak ketika ini terdiri daripada mereka yang berusia lebih 70 tahun, dengan seorang daripada 82 orang itu berusia 80-an. Justeru, tidak sukar untuk menjangka siapa yang akan digugurkan.
Abang Jo memasuki dunia politik pada 1979, menjadi ADUN pada 1981 dan telah menjadi Premier Sarawak sejak 2017.
Jika masih menjadi Premier sehingga tamat tempoh satu penggal, bermakna beliau akan berusia 81 tahun. Abang Johari sedar akan perkara itu.
Paling tidak, beliau akan meneruskan sehingga 2030 atau bersara lebih awal.
Beliau juga tidak mahu penggantinya akan mewarisi tampuk kepimpinan pada usia tua, dan tidak punyai waktu panjang untuk menjayakan perancangan mereka. Beliau memiliki pengalaman menarik untuk mencari pengganti, kerana mentornya Tun Pehin Sri Abdul Taib telah mengasuh dan mengasah beliau dan Pehin Sri Adenan untuk menghadapi saat itu.
Sesiapa sahaja kini dalam radar, dan biarlah kita memberikan kepercayaan kepada Abang Johari untuk memutuskannya.



