KUCHING: Pindaan Ordinan Cuti Umum Sarawak 2026 dijangka memberi kepastian kepada pekerja dan majikan berhubung penggantian cuti umum yang jatuh pada Ahad, sekali gus memudahkan perancangan kerja serta urusan keluarga.
ADUN Baleh, Datuk Nicholas Kudi Jantai, berkata pindaan ordinan yang berkuat kuasa sejak 1958 itu penting bagi memastikan peruntukan undang-undang kekal relevan dan sesuai dengan keperluan semasa.
“Pindaan Seksyen 3 menetapkan hari Isnin sebagai cuti gantian sekiranya hari kelepasan am jatuh pada Ahad, manakala Selasa menjadi cuti gantian jika Isnin turut merupakan hari kelepasan am, kecuali ditetapkan sebaliknya melalui warta oleh Yang di-Pertua Negeri.
“Ketetapan lebih jelas itu dapat mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pekerja dan majikan, selain memudahkan penyusunan jadual kerja serta perancangan aktiviti kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ordinan Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, pindaan itu turut membabitkan pemansuhan Jadual Kedua dan penyelarasan Jadual Pertama kepada satu jadual tunggal bagi memudahkan rujukan serta menjadikan peruntukan berkaitan cuti umum lebih tersusun.
Nicholas berkata, kepastian berkaitan cuti gantian amat penting bagi penduduk Baleh dan Kapit, khususnya masyarakat pedalaman yang perlu menempuh perjalanan jauh melalui sungai untuk pulang ke rumah panjang ketika sambutan Hari Gawai Dayak dan acara kekeluargaan.

