Pindaan RUU beri jaminan “Anak Sarawak” mentadbir Sarawak

KUCHING: Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Sarawak 2020 yang diluluskan hari ini akan memberikan jaminan bahawa negeri ini akan ditadbir oleh “Anak Sarawak” secara penuh.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, perkara tersebut akan menetapkan pendirian Sarawak bahawa calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan daripada luar.

“Ini kerana jika kita buka pencalonan kepada orang luar, ia akan mendatangkan banyak masalah kepada negeri ini dan keadaan akan kucar-kacir.

“Sebagai wakil rakyat yang mewakili rakyat dalam PRN ia tidak mudah untuk mereka masuk bertanding dan perkara ini penting kerana kita tidak mahu memilih wakil sesuka hati,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tambahnya, pindaan RUU itu juga penting untuk memastikan perkara yang pernah berlaku di kawasan Pujut tidak berulang lagi.

“Kita juga tidak mahu mana-mana ahli politik bertanding di mana-mana kawasan di negeri ini seperti yang berlaku di Semenanjung.

“Saya berasa untuk mempertahankan hak kita, wakil rakyat perlu terdiri daripada orang Sarawak, dari Sarawak dan berdarah orang Sarawak kerana ia penting untuk memperkuatkan ‘jenama Sarawak’ sendiri,” tegas beliau.

Henry (kiri) bersama-sama dengan Adun Serembu Miro Simuh pada sidang media, hari ini.

Suara Sarawak