SELEPAS mencuri perhatian menerusi telefilem Pitenah, Smangko Production kembali dengan kesinambungan naskhah berkenaan menerusi Pitenah 2: Kemelut Margasatwa yang mengetengahkan konflik, misteri, dendam dan kifarah.
Telefilem arahan Gizri Azif ini membawa penonton menyelami kisah perkampungan terpencil, Kampung Margasatwa, yang pada awalnya hidup dalam keadaan tenang sebelum diganggu oleh pelbagai kejadian aneh, termasuk gangguan mistik dan penyakit misteri.
Keadaan bertambah tegang apabila berlaku perebutan kuasa untuk memimpin kampung berkenaan, sekali gus membuka kembali kisah silam yang selama ini cuba disembunyikan.
Menurut Gizri, karya ini berunsurkan misteri dan seram serta sarat dengan mesej moral mengenai akibat perbuatan manusia, khususnya sifat hasad dengki, dendam dan keengganan untuk memaafkan.
“Telefilem ini membawa mesej mengenai konsep kifarah dan bagaimana perbuatan buruk akhirnya boleh membawa kesan kepada diri sendiri.
“Kami mempertaruhkan 100 peratus usaha, tenaga dan kreativiti anak tempatan dalam menghasilkan karya ini, daripada garapan skrip, pembangunan watak dan sinematografi hinggalah proses pascaproduksi,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, kekuatan telefilem berkenaan turut terletak pada konflik setiap watak yang mempunyai latar belakang serta rahsia tersendiri.
Antaranya ialah Mael yang diuji sebagai pemimpin baharu, Roslan yang dibelenggu dendam masa lalu, Pak Amit yang menyimpan rahsia silam, Dillah yang berdepan kehilangan serta Yati, watak misteri yang penuh teka-teki.
Gizri berkata setiap watak dibangunkan dengan elemen emosi dan konflik bagi memastikan jalan cerita terus menarik sehingga penghujung.
Beliau berharap karya berkenaan mendapat sambutan daripada penonton, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada bakat seni tempatan untuk berkembang dalam industri kreatif.
“Kami berharap Pitenah 2 mendapat sambutan daripada penonton dan pada masa sama dapat mengangkat bakat anak-anak seni, baik di hadapan mahupun di belakang tabir, supaya mereka mendapat lebih banyak ruang dalam industri dan terus menghasilkan karya masing-masing,” ujarnya.

Pitenah 2: Kemelut Margasatwa bakal ditayangkan menerusi saluran YouTube Smangko TV, manakala perkembangan terkini, termasuk treler dan kandungan di sebalik tabir, boleh diikuti menerusi media sosial rasmi Smangko Production.
Untuk rekod, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, merupakan anak jati Sri Aman yang juga bertindak sebagai penasihat bagi telefilem tersebut.





