PKP 2.0: Kepentingan imbangi aspek ekonomi dan kesihatan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua dengan memberikan kelonggaran tertentu terutama bagi sektor ekonomi adalah sesuatu yang sukar, namun perlu dibuat bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga ekonomi.
Bagi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKP kali ini melihat kepada kepentingan ekonomi tidak kira melalui syarikat gergasi mahupun peniaga kecil-kecilan, dan pada masa sama perlu menumpukan kepada kesihatan rakyat.
“Kita tidak mahu rakyat mati akibat COVID-19, dan kita juga tidak mahu mereka mati kerana tidak makan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.
Katanya, ada pihak mempertikaikan pelaksanaan PKP kali kedua yang dikatakan lebih longgar, tapi daripada konteks lebih luas, negara boleh bangkrap kalau PKP dilaksanakan bertahun-tahun.
“Waktu PKP dulu, negara rugi RM2.4 bilion setiap hari. Kerajaan juga perlu fokus kepada rakyat yang bergantung kepada pendapatan seharian bagi menampung hidup. Sebab itu ketika PKP 2.0 ini, kita benarkan sebahagian besar sektor ekonomi untuk beroperasi. Kita fikir kebajikan rakyat dan keselamatan mereka juga sama penting,” katanya.
Ismail Sabri menjelaskan biarpun pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat, namun kerajaan tidak boleh memberi bantuan selama-lamanya dengan mengambil kira kesan jangka panjang.
“Bantuan one-off diberikan hanya RM3,000 bagi perusahaan kecil dan sederhana. Dengan membenarkan sesetengah sektor untuk beroperasi, peniaga kecil-kecilan sebagai contohnya yang mempunyai gerai tepi jalan juga boleh berniaga bagi menampung keperluan seharian,” katanya.
Beliau menjelaskan sektor perkilangan pula dibuka bukan bagi menjaga hati ‘tauke besar’ tetapi kerana rantaian ekonomi yang melibatkan operasi syarikat dan nasib pekerja harus diutamakan.
“Netizen kata kita jaga tauke besar, tapi ia adalah berkaitan pekerja mereka. Kalau tauke besar rugi akibat kilangnya tidak beroperasi, akhirnya mangsa adalah pekerja yang bergantung kepada pendapatan itu,” katanya.
Hari ini, genaplah setahun negara dibadai pandemik COVID-19, apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Jan 2020. Ketika gelombang pertama, ia melibatkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula berlaku melibatkan penularan tempatan, dengan kes pertama COVID-19 dilaporkan pada 4 Feb 2020.
Susulan gelombang kedua, kerajaan telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac tahun lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dan setelah beberapa bulan apabila jangkitan menunjukkan penurunan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran menerusi PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun.
Ketika gelombang ketiga melanda, kerajaan terpaksa melaksanakan PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober, dan apabila kes semakin meningkat tahun ini kerajaan terpaksa melakukan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak.
Ketika ditanya sama ada Malaysia akan berjaya melandaikan keluk COVID-19 selepas PKP ini, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata jumlah kes akan menurun namun akan mengambil sedikit masa.
“Cara terbaik untuk putuskan rantaian COVID-19 ialah dengan tiada pergerakan langsung, namun buat masa ini ia (pergerakan orang ramai) masih berlaku. Sektor penting diberi kebenaran untuk beroperasi atas dasar kepentingan ekonomi. Walaupun PKP ini tidak ‘lockdown’ sepenuhnya, tapi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah percaya (kes) akan berkurangan tapi mengambil masa sedikit,” kata Ismail Sabri.
Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 harian kepada antara 500 hingga 1,000 kes sehari.
Kata Dr Noor Hisham, usaha melandaikan semula lengkungan graf jangkitan COVID-19 di negara ini dijangka berhasil pada Mei atau Jun dan pada masa sama, PKP tidak boleh terlalu lama kerana memberi impak negatif kepada ekonomi negara.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menolak dakwaan wujudnya dwistandard antara ahli politik dan rakyat biasa dalam tindakan penguatkuasaan SOP PKP, contohnya dalam isu pergerakan secara bebas seperti rentas negeri.
“Kerja ahli politik atau Ahli Parlimen, kita ada kawasan masing-masing. Apabila rakyat ditimpa bencana, wakil rakyat perlu jalankan tanggungjawab kepada mereka.
“Sama seperti perkhidmatan kerajaan, sektor swasta iaitu khidmat diberikan kepada orang lain. Tugas ahli politik adalah berjumpa dengan rakyat. Ini adalah tugas seorang ahli politik. Kalau seseorang wakil rakyat tiada di lapangan ketika rakyat susah, maka ahli politik itu gagal laksanakan tugasnya,” jelas beliau.  — BERNAMA